
LAWAS: Yayasan Kepimpinan Al Bait (YKAB) dengan kerjasama Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) dan Koperasi Al-Bait Sarawak Berhad (KOOPBAIT) telah mengadakan Projek Infak Pakaian Al Bait Daerah Lawas pada 28 Februari hingga 2 Mac 2026 bermula pada 9.30 pagi hingga 3.30 petang di Pejabat Perhubungan Tabung Baitulmal Sarawak (TBS), Lawas.
Ketua Bahagian TBS Limbang, Nor Nadiah Abas, dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kira-kira 10,000 helai pakaian telah diagihkan kepada lebih 300 keluarga di sekitar Daerah Lawas sepanjang tiga hari projek tersebut berlangsung.

Projek ini merupakan kerjasama kali ketiga antara YKAB dan TBS Daerah Lawas dalam
usaha mengagihkan pakaian baharu hasil sumbangan orang ramai kepada golongan masyarakat yang memerlukan di Daerah Lawas.
Projek Infak Baju Raya Al Bait mula dilaksanakan sejak Ramadan 2023 di Kuching, Sarawak dan mendapat sambutan luar biasa daripada masyarakat umum di seluruh Wilayah Sarawak khususnya di Kuching, Sibu dan Miri.
“Oleh kerana maklum balas positif ini, projek tersebut diperluaskan ke pelbagai bahagian lain di seluruh wilayah Sarawak. Sejak pelancarannya, projek ini telah berjaya mengagihkan lebih 78,000 pasang pakaian kepada kira-kira 8,200 penerima di seluruh wilayah Sarawak,” katanya.
Projek YKAB ini turut dibantu oleh masyarakat umum yang telah mendaftar sebagai Sukarelawan Yayasan Kepimpinan Al Bait (SYKAB).
YKAB turut mengalu-alukan penyertaan masyarakat sebagai Sukarelawan Yayasan Kepimpinan Al Bait (SYKAB) untuk bersama-sama menjayakan program yang dianjurkan.
Mereka yang berminat boleh mendaftar melalui talian 011-1667 8233 (Wirrmeezy).
Oleh Adeng Edrus