KUCHING: Projek Hospital Petra Jaya kini berada di fasa perolehan kepada para petender yang telah lulus di peringkat pra kelayakan dan tarikh tutup tender ialah pada 7 Ogos 2020.
Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Dagang berkata projek kini berada dalam peringkat penilaian tender dan Surat Setuju Terima (SST) dijadualkan pada Januari 2021.
“Projek Menyiapkan Baki Kerja Terbengkalai Hospital Petra Jaya dilaksanakan secara Tender Terbuka oleh JKR Malaysia.
“Taklimat Tender dan Lawatan Tapak telah berlangsung pada 12 Februari 2019 dengan tender ditutup pada 24 April 2019.
“Bagaimanapun, disebabkan tiada petender yang layak, maka Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) melalui surat pada 26 Ogos 2019 memutuskan supaya projek ini ditender semula secara Tender Terbuka (Pra Kelayakan) di kalangan syarikat yang berdaftar dengan CIDB dan mempunyai Kod Bidang B29 (Kerja Bangunan Kesihatan) serta mempunyai Sijil Kontraktor Penyiap bagi pelaksanaan projek terbengkalai sebelum ini,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr. Kelvin Yii pada Persidangan Dewan Rakyat, di Kuala Lumpur, semalam.
Terdahulu beliau mengatakan projek Hospital Petra Jaya (300 katil) telah diluluskan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (UPE, JPM) untuk dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) tahun 2011.
“Projek ini dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR Malaysia) dengan Fasa Pembinaan bermula pada 30 Mei 2013 dan dijadualkan siap pada 30 Jun 2018.
“Walau bagaimanapun, berikutan prestasi kemajuan projek yang tidak memuaskan, JKR Malaysia telah mengeluarkan Notis Penamatan Pengambilan Kerja Kontraktor kepada Zecon Berhad pada 2 Ogos 2018,” katanya.
Beliau turut mengatakan bagi projek Klinik Kesihatan (Jenis 2) Tabuan Jaya, Kuching telah diluluskan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (UPE, JPM) untuk dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-Sebelas (RMKe-11) tahun 2016 dengan Anggaran Kos Projek adalah RM40 juta.
“Projek ini dilaksanakan secara Tender Terbuka oleh Jabatan Kerja Raya Sarawak (JKRS). Proses perolehan projek ini telah dilaksanakan di mana tarikh tutup Tender adalah pada 25 Februari 2019.
“Namun, Lembaga Tender Pusat Persekutuan Sarawak (FCTB) pada 15 Januari 2020 menetapkan agar projek ditender semula. Ini kerana, kelewatan surat persetujuan pelanjutan tempoh sah laku tender daripada petender yang berjaya.
“Jangkaan tender terkini adalah pada Ogos 2020 yang mana tarikh jangka Surat Setuju Terima (SST) projek ini adalah pada Disember 2020 dan dijangka mengambil masa 30 bulan untuk dibina,” katanya.
Beliau berkata Kementerian bersama JKR dan Agensi-agensi Kerajaan yang lain sentiasa bekerjasama dengan erat bagi memastikan projek ini berjalan dengan lancar.
“Adalah menjadi aspirasi Kementerian ini agar setiap projek disiapkan pada masa, kos dan standard yang telah ditetapkan,” ujar beliau.
Oleh Alexandra Lorna