
BAU: Timbalan Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep, memaklumkan bahawa Projek Pembinaan Gantian Penuh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lake, Bau, kini mencatat kemajuan fizikal 63.45 peratus setakat 15 Ogos lalu.
Beliau berkata, projek berkenaan dilaksanakan oleh Pasukan Projek Khas 2, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia melalui kaedah Reka & Bina, melibatkan pembinaan 42 bilik darjah, asrama berkapasiti 300 pelajar (200 lelaki dan 100 perempuan), blok pentadbiran dan akademik, surau, dewan makan serta pelbagai kemudahan sokongan lain.
“Projek ini merupakan inisiatif penting Kementerian Pendidikan bagi meningkatkan kualiti pendidikan di kawasan Bau,” katanya.
Namun, jelasnya, kemajuan semasa projek adalah 11.98 peratus lebih rendah berbanding jadual asal 75.43 peratus, iaitu kelewatan bersamaan 28 hari. Sehubungan itu, tarikh siap asal pada 15 Disember 2025 telah dilanjutkan melalui kelulusan Lanjutan Masa (EOT) No. 1 selama 41 hari, menjadikan 25 Januari 2026 sebagai tarikh siap baharu.
Projek yang dikendalikan kontraktor Eden Empire Development Sdn. Bhd. dengan kos kontrak berjumlah RM79,107,000 itu amat dinanti-nantikan oleh warga sekolah, khususnya pelajar, guru serta ibu bapa.
“Saya menggesa agar semua pihak terlibat memberi komitmen penuh untuk memastikan projek ini disiapkan mengikut jadual baharu, tanpa menjejaskan kualiti binaan dan keselamatan pelajar,” tegasnya.
Dato Henry turut menegaskan bahawa beliau akan terus memantau rapat perkembangan projek bersama agensi pelaksana, kontraktor dan pihak sekolah agar ia dapat disiapkan tepat pada masanya demi kepentingan masyarakat setempat serta pembangunan pendidikan di kawasan Tasik Biru.
Oleh Norman B.