
SIBU: Projek bekalan air bernilai RM16.5 juta di bawah Agensi Pembangunan Rajang Delta (RADDA) bagi membekalkan air bersih kepada tujuh rumah panjang di kawasan Batang Lassa mengalami sedikit kelewatan susulan bantahan terhadap tapak cadangan pembinaan loji air di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, projek di bawah inisiatif Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) itu merupakan antara usaha kerajaan negeri memastikan penduduk di kawasan pedalaman menikmati kemudahan asas setaraf dengan kawasan bandar.
“Projek ini sebenarnya telah diluluskan dan kita mahu segera melaksanakan kerja-kerja pembinaan loji serta sistem bekalan air bagi membekalkan air bersih kepada tujuh rumah panjang di kawasan Batang Lassa.
“Namun, terdapat sedikit gangguan di peringkat akhir proses pengambilan tanah apabila seorang individu membuat bantahan terhadap tapak cadangan loji tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis perasmian Penutupan Program Transformasi Tadbir Urus dan Pengurusan Mampan Institusi Kampung untuk kawasan Daro di sebuah hotel di sini, hari ini.
Menurut beliau, berdasarkan maklumat awal, tanah tapak projek berkenaan terletak di kawasan yang dikategorikan sebagai unregistered land, namun seorang individu mendakwa tanah tersebut miliknya.
“Pada peringkat awal, kita telah mendapatkan persetujuan bertulis daripada semua tuai rumah yang memberi kebenaran melaksanakan projek ini tanpa sebarang tuntutan. Tetapi, saya difahamkan ada seorang individu yang beradal dari kawasan itu tetapi tidak lagi menetap di situ telah membuat aduan rasmi kepada Jabatan Tanah dan Survei mendakwa tanah itu miliknya,” jelasnya.
Safiee berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan mencadangkan lokasi baharu bagi memastikan pelaksanaan projek tidak terus tertangguh.
“Saya telah meminta agensi pelaksana untuk turun ke lapangan bagi mencari penyelesaian, termasuk mengenal pasti tapak alternatif yang sesuai bagi membolehkan projek ini dilaksanakan secepat mungkin,” ujarnya.
Beliau menambah, apabila siap kelak, projek tersebut akan memberi manfaat besar kepada penduduk tujuh rumah panjang serta sebuah sekolah baharu yang akan dibina lengkap dengan asrama.
“Sekolah baharu ini telahpun diluluskan dengan keluasan tapak lapan ekar dan proses pengambilan tanah juga selesai. Buat sementara, kita akan membina bangunan sementara menggunakan konsep kabin bagi memastikan sesi pembelajaran tidak terganggu,” katanya.
Selain itu, Safiee memaklumkan kawasan Batang Lassa kini menikmati bekalan elektrik 24 jam melalui sistem grid yang siap tahun lepas, manakala pembinaan jalan baru yang menghubungkan kawasan tersebut turut sedang dilaksanakan.
“Dua pakej jalan juga telah diluluskan dimana satu di bawah RADDA dan satu lagi menerusi kajian separuh penggal (Mid-Term Review) Rancangan Malaysia sebelum ini. Insya-Allah, semua ini akan melengkapkan infrastruktur asas di kawasan Batang Lassa,” tambahnya.
Safiee turut berharap projek bekalan air tersebut dapat disiapkan dalam tempoh setahun bagi mengakhiri kebergantungan penduduk terhadap sumber air hujan dan sungai untuk kegunaan harian.
Oleh Tarani Lanting