
MIRI: Projek Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Miri mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi hospital pertama di Malaysia menerima Penarafan 4 Bintang MyCREST (Peringkat Pembinaan).
Menurut Hospital Miri menerusi hantaran di laman Facebook rasminya hari ini, pengiktirafan berprestij itu mencerminkan tahap prestasi yang sangat baik mengikut piawaian MyCREST (Alat Pengurangan Karbon dan Kelestarian Alam Sekitar Malaysia), iaitu sistem penilaian yang diperkenalkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mengurangkan jejak karbon serta memastikan kelestarian alam sekitar dalam sektor pembinaan.
Katanya, kejayaan tersebut membuktikan komitmen tinggi pasukan projek dalam mengamalkan konsep pembinaan lestari, termasuk penggunaan tenaga, air dan bahan binaan secara cekap di samping pengurusan sisa yang lebih berkesan.
“MyCREST berfungsi sebagai penanda aras kelestarian tempatan bagi menyokong pembangunan mampan negara dan memastikan pembangunan yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar serta komuniti,” menurut kenyataan itu.
Katanya, penarafan 4 bintang berkenaan menjadi bukti dedikasi, kerjasama dan profesionalisme semua pihak terlibat dalam merealisasikan fasiliti kesihatan yang moden, mampan dan berkualiti tinggi untuk manfaat rakyat, khususnya penduduk di Bahagian Miri.
Majlis Penyerahan Sijil MyCREST (Peringkat Pembinaan) yang diadakan semalam turut dihadiri wakil beberapa agensi utama.
Oleh Liong Chai Ling