Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Projek air diperluas, fokus kepada kehilangan air
  • Selatan
  • WILAYAH

Projek air diperluas, fokus kepada kehilangan air

Utusan Sarawak 13 hours ago
TIMBALAN Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof (tengah) bercakap kepada media pada Program Ibadah Qurban 1446H/2025M di Kampung Tupong Jaya, Petra Jaya, Kuching. -Foto JAPEN

PETRA JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan kini memberi keutamaan kepada pengurusan air negara, terutamanya dalam menangani isu kehilangan Air Tidak Terhasil (‘Non-Revenue Water’ atau NRW) yang kini mencecah purata 40 peratus secara nasional.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Ibadah Qurban 1446H/2025M anjuran bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kampung Tupong Jaya di sini, hari ini.

Menurutnya, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah menyalurkan peruntukan pembangunan sebanyak RM796.4 juta secara pinjaman kepada kerajaan-kerajaan negeri bagi tahun 2025 untuk membiayai pelbagai projek bekalan air.

“Setakat Mei 2025, sebanyak 28 projek sedang dilaksanakan di seluruh negara, termasuk lima di Sarawak.

“Antara fasa pelaksanaan termasuk 15 projek dalam pembinaan, tujuh dalam proses perolehan, dua dalam peringkat reka bentuk, dan empat dalam proses pengambilan balik tanah serta semakan skop projek,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa tujuh projek dijangka siap dalam tahun ini, manakala selebihnya akan disiapkan secara berperingkat sehingga 2027 dan seterusnya.

Mengulas lanjut mengenai keutamaan kerajaan, Fadillah menekankan bahawa selain membina loji rawatan air baharu, tumpuan kini turut diberikan kepada usaha menggantikan sistem paip lama bagi mengurangkan kebocoran dan kecurian air.

“Air yang hilang akibat kebocoran paip atau sambungan haram menyebabkan kerugian besar kepada negara.

“Jika kita berjaya menggantikan keseluruhan sistem paip yang usang, kita boleh menjimatkan sehingga 40 peratus air terawat yang kini hilang begitu sahaja,” jelasnya.

Dalam konteks musim monsun barat daya dan cuaca kering, beliau turut menyeru masyarakat agar lebih berhemat dalam penggunaan air dan memanfaatkan air hujan melalui sistem tadahan bagi keperluan harian seperti mencuci dan menyiram tanaman.

Pada program yang berlangsung pagi tadi, Fadillah hadir bagi menyempurnakan salah satu program ibadah korban yang dilaksanakan selama tiga hari di Parlimen Petra Jaya, bermula semalam.

Sebanyak lebih 120 ekor haiwan korban dikorbankan bagi program selama tiga hari itu, merangkumi 58 ekor atas inisiatif Parlimen dan selebihnya atas gabungan sumbangan sumbangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Daging korban pada program di Kampung Tupong Jaya berkenaan akan diagihkan kepada penduduk kampung sekitar termasuk Kampung Tupong Tengah. -JAPEN

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: 33 lembu korban sumbangan Datuk Len di Kuala Rajang
Next: Sumbangan Aidiladha semarakkan semangat kebersamaan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.