SKUAD Project A muncul sebagai juara Pertandingan Sepak Takraw Tertutup Sri Aman dan sekali gus berjaya merebut Piala Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Bersatu Sri Aman 2022.
Kejuaraan dan piala berkenaan sah menjadi milik mereka selepas berjaya menundukkan saingan Brotherhood C dalam aksi final yang berlangsung di Mini Stadium Sri Aman baru-baru ini.
Kemenangan itu membolehkan Project A membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,000 beserta dengan piala dan pingat sambil naib juara iaitu Brotherhood C pula meraih hadiah wang tunai RM700, piala dan juga pingat.
Manakala Miasim 083 dan Lubok Antu Hunter pula masing-masing diumum sebagai pemenang tempat ketiga secara bersama.
Dengan kejayaan itu, kedua-dua pasukan itu masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM250 beserta dengan piala dan pingat.
Selain itu Pertandingan Sepak Takraw Tertutup Sri Aman ini juga menyaksikan tiga pemain diumum sebagai Pemain Terbaik yang membolehkan setiap mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM100 dan piala khas.
Dua daripada mereka iaitu Ricky Mamat dan Texsi Manggie dari skuad Projek A masing-masing telah diumum sebagai Tekong Terbaik dan Apit Kanan Terbaik pada pertandingan itu manakala Joey Rasip dari Brotherhood C pula diumum sebagai Apit Kiri Terbaik.
Pemilihan bagi pemain terbaik ini telah pun dilakukan oleh para pengadil profesional dengan mengambil kira tahap disiplin dan prestasi mereka sepanjang berlangsungnya perlawanan berkenaan.
Majlis penyampaian hadiah kepada ]pemenang dan pemain dilakukan oleh Pengerusi Perhubungan Negeri Perikatan Nasional (PN) Sarawak, Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian dan Ketua ARMADA Sarawak, Alexander Frusis.
Terdahulu pertandingan anjuran ARMADA Bahagian Sri Aman dengan kerjasama Kelab Belia Perdana (BELDANA) Jalan Sabu Sri Aman itu telah pun melibatkan penyertaan sejumlah 31 pasukan.
Pertandingan berkenaan telah berlangsung selama tiga hari dua malam itu bertujuan mencari bakat baharu dalam kalangan belia yang boleh bermain sepak takraw dan sekali gus mengenal pasti bakat yang terpendam mereka.
Malah ia juga memberi peluang kepada peminat sukan sepak takraw sekitar Bahagian Sri Aman untuk mengeratkan lagi silahturahim setelah dua tahun tidak bersua muka akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang lalu.
“ARMADA Sarawak menyokong penuh mana-mana pihak yang berusaha mengembalikan semula kerancakkan sukan sepak takraw tanah air ini tanpa mengira entiti Persatuan mahupun gabungan baharu yang bakal diwujudkan nanti.
“Malah, ARMADA Sarawak juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Tan Sri Abang Khalid Abang Tan Sri Datuk Amar Abang Marzuki selaku Presiden Sepak Takraw Negeri Sarawak yang telah meninggal dunia pada 4 Februari lepas,” kata Alexander.