

BINTULU: Tradisi menyantuni masyarakat melalui sumbangan beras oleh syarikat Tong Seng Huat kepada penduduk di RPR Kidurong diteruskan lagi tahun ini sempena Ramadan.
Program Ziarah Ramadan yang memasuki tahun ketiga penganjurannya itu menyaksikan peningkatan jumlah sumbangan yang diagihkan kepada penduduk setempat.
Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Bintulu, Azman Abdul Rahman berkata, sebanyak 120 kampit beras diagihkan pada tahun ini berbanding 100 kampit pada tahun lalu dan 80 kampit pada tahun pertama penganjurannya.
Menurutnya, peningkatan jumlah sumbangan tersebut membolehkan lebih ramai penduduk yang memerlukan menerima bantuan khususnya dalam membuat persiapan sepanjang bulan Ramadan.
“Kita berharap sumbangan ini dapat membantu penduduk yang memerlukan di RPR Kidurong dan program ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa Program Ziarah Ramadan anjuran Tong Seng Huat yang berlangsung di pekarangan Masjid Al-Mustaqim RPR Kidurong di sini, hari ini.
Selain pengagihan beras kepada penduduk, bubur lambuk yang sinonim dengan Ramadan turut disediakan dan diagihkan kepada orang ramai yang hadir.
Program tersebut turut mendapat kerjasama daripada pihak ketua kampung serta komuniti setempat bagi memastikan agihan berjalan lancar dan sampai kepada golongan yang memerlukan.
Oleh Carolyne Utih