
BINTULU: Program Ziarah Mahabban Masjid & Surau Jepak bukan sahaja bertujuan menghulurkan bantuan tetapi juga sebagai platform untuk memahami cabaran yang dihadapi oleh institusi keagamaan setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee, berkata selain menghulurkan sumbangan, program ini turut menjadi ruang untuk mendengar sendiri keperluan masjid dan surau di kawasan tersebut.
“Saya percaya usaha sebegini mampu memperkukuh kerjasama antara pemimpin dan masyarakat setempat, khususnya dalam menjayakan aktiviti keagamaan sepanjang Ramadan,” katanya.
Program disempurnakan Iskandar Turkee yang berlangsung semalam ini merupakan anjuran Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Pergerakan Pemuda PBB, dan Pusat Khidmat Jepak di kawasan Kuala Tatau bagi mengeratkan silaturahim serta menyantuni komuniti setempat sempena Ramadan.
Pada majlis sama, Iskandar Turkee menyampaikan sumbangan kepada enam masjid, dan surau di kawasan tersebut, termasuk Masjid Al-Amin, Surau Darul Taqwa, Surau Nur Iman, serta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemena.
Sumbangan berbentuk bantuan kewangan, kurma, dan air minuman diberikan sebagai penghargaan kepada pihak masjid dan surau atas peranan mereka dalam menyemarakkan aktiviti keagamaan sepanjang bulan Ramadan.
Dalam program tersebut, sumbangan sebuah kerusi roda dan bakul makanan turut disampaikan kepada seorang penerima di Kuala Tatau sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat setempat.
Iskandar Turkee, justeru, berharap agar sumbangan yang diberikan dapat meringankan beban pengurusan masjid dan surau serta memberi manfaat kepada para jemaah sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini.