
KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir bersama isteri, Datin Meryani Yassin telah mengadakan program Ziarah Kasih ke atas Asisten Superintendan (ASP) Hussin Epok yang kini sedang menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS), semalam.
Kunjungan tersebut diadakan sebagai tanda keprihatinan terhadap keadaan kesihatan ASP Hussin yang telah dimasukkan ke hospital sejak 8 Jun lalu selepas mengalami masalah kaki yang terasa kebas serta kesukaran untuk bergerak.
ASP Hussin kini ditempatkan di Wad Ortopedik, Hospital Umum Sarawak bagi menjalani pemeriksaan dan rawatan lanjut di bawah pemantauan pasukan perubatan pakar.
Menurut maklumat yang diperoleh, keadaan beliau dilaporkan stabil selepas menerima rawatan rapi daripada doktor-doktor pakar di hospital berkenaan.
Dalam lawatan tersebut, Chee Kadir meluangkan masa bertanya khabar mengenai perkembangan kesihatan ASP Hussin selain memberikan kata-kata semangat kepada beliau dan ahli keluarga yang setia menemani sepanjang tempoh rawatan.
Beliau turut menzahirkan rasa prihatin terhadap ujian yang sedang dihadapi oleh ASP Hussin serta berharap agar proses rawatan yang dijalani berjalan lancar dan memberikan hasil yang positif.
Selain itu, Chee Kadir mendoakan agar ASP Hussin dikurniakan kesembuhan yang segera serta kembali menjalankan tugas dan aktiviti harian seperti sediakala.
Beliau juga berharap agar keluarga ASP Hussin terus tabah, sabar dan kuat dalam menghadapi dugaan tersebut, sambil menegaskan bahawa sokongan moral daripada keluarga dan masyarakat amat penting dalam proses pemulihan pesakit.
Program Ziarah Kasih yang dilaksanakan itu memperlihatkan komitmen berterusan ADUN Kabong dalam menyantuni masyarakat serta mengambil berat terhadap kebajikan rakyat tanpa mengira latar belakang dan kedudukan.
Inisiatif seumpama itu bukan sahaja mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat, malah menjadi simbol keprihatinan serta semangat kebersamaan dalam membantu mereka yang sedang berdepan dengan cabaran kesihatan.
Oleh Adi Safarman