
BINTULU: Jabatan Veterinar Sarawak (DVS) Bahagian Bintulu, dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), akan menganjurkan Program Vaksinasi Anti-Rabies Percuma dan Aktiviti Pelesenan Anjing Peliharaan pada 4 Oktober ini.
Program tersebut akan berlangsung dari jam 9 pagi hingga 4 petang di kawasan tepi Times Square Megamall, Bintulu, dan bertujuan mengawal penularan penyakit rabies di daerah ini.
Menurut kenyataan BDA, suntikan vaksin anti-rabies disediakan secara percuma manakala bayaran pelesenan ditetapkan RM30 bagi anjing yang tidak dimandulkan, RM10 bagi anjing yang sudah dimandulkan dan RM8 untuk kolar logo BDA bersama mikrocip.
Pemilik anjing digesa membawa haiwan peliharaan masing-masing untuk divaksin dan didaftarkan sebagai langkah pencegahan rabies.
Selain itu, pemilik juga perlu memastikan anjing berusia sekurang-kurangnya tiga bulan, tidak bunting atau menyusu, membawa kad pengenalan pemilik dan sentiasa mengawal haiwan sepanjang program.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman Facebook DVSSarawak atau menghubungi talian 086-335770 (DVS Bintulu).
Oleh Carolyne Utih