
KUALA LUMPUR: Program ‘Sehari Bersama Wartawan’ oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) berjaya membuka mata pelajar kewartawanan terhadap realiti sebenar dunia pemberitaan melalui pengalaman langsung di lapangan bersama wartawan profesional.
Pensyarah Kewartawanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Shah Alam, Selangor Fadzillah Aishah Ismail berkata program itu yang merupakan komponen penting dalam subjek Penulisan Berita (Program Kewartawanan) memberikan peluang kepada pelajar mengikuti wartawan sama ada daripada organisasi media cetak atau elektronik turun padang.
“Program ini juga berjaya membuka minda serta merangsang minat pelajar untuk memilih kerjaya sebagai wartawan apabila tamat pengajian nanti kerana mereka telah merasai sendiri pengalaman bertugas sebagai wartawan walaupun hanya sehari.
“Ada juga wartawan yang membenarkan pelajar ini menghasilkan berita untuk tugasan yang dihadiri, malah ada yang berkongsi byline (nama penulis). Situasi ini sangat mendorong minat mereka untuk ceburi bidang kewartawanan kelak,” katanya kepada Bernama.
Pelajar jurusan kewartawanan UiTM Shah Alam, Ezureen Natasya Kahar Jaafar, 21, berkata program yang disertainya itu menerapkan etika kewartawanan dalam diri setiap pemberita dan pengamal media.
“Semasa mengikuti wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) pergi ke tempat tugasan, beliau tekankan setiap berita yang dilaporkan mestilah sahih dan tepat, tidak boleh tangguh dalam menyiapkan berita,” katanya yang menanam cita-cita menjadi seorang wartawan setelah tamat pengajian.
Bagi Kamelia Shaira Kamarudin, 21, pelajar jurusan sama yang mengikuti wartawan Radio Televisyen Malaysia (RTM) ke tempat tugasan berkata program berkenaan mendidiknya bahawa setiap laporan berita perlu tepat dan benar bagi memastikan masyarakat mendapat maklumat sahih.
“Saya juga didedahkan dengan situasi sebenar kerja sebagai wartawan yang perlu bergerak ke banyak tempat dan berjumpa dengan orang ramai untuk mendapatkan maklumat selain berhadapan dengan deadline (tempoh akhir) untuk siapkan sesebuah berita,” katanya yang teruja memilih kerjaya sebagai pengamal media kelak.
Nurr Edrinna Junaidi, 21, yang berpeluang menghasilkan berita ketika mengikuti wartawan Sinar Harian ke tempat tugasan berkata program itu walaupun hanya sehari, ia sangat bagus untuk pelajar merasai pengalaman bekerja sebagai wartawan sebenar.
Bagi menghargai sumbangan dan peranan wartawan, Hari Wartawan Nasional (HAWANA) disambut setiap 29 Mei dan untuk tahun ini, sambutan bertemakan ‘Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika’ dengan majlis kemuncak telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Sabtu lepas.
Walaupun majlis kemuncak telah berakhir, sambutan HAWANA 2025 diteruskan dengan pelbagai pengisian bermakna, antaranya acara sukan media yang menampilkan elemen permainan tradisional serta siri jelajah ke politeknik premier di Selangor, Perak, dan Johor bagi menyemai minat generasi muda terhadap dunia kewartawanan dan media.- Bernama