
UNTUK ALBUM....Pengarah SIMU, Sapiah Daud bergambar bersama para peserta.
SARIKEI: Seramai 54 peserta dari kampung tradisi dan rumah panjang Bahagian Sarikei telah menyertai Program Transformasi Kampung (VTP) di salah sebuah hotel di sini.
Pengarah Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU) Sapiah Daud berkata, VTP adalah salah satu inisiatif kerajaan Sarawak untuk menyediakan kemahiran yang boleh membantu menghasilkan pendapatan tambahan kepada peserta di samping dapat membangun serta memaju komuniti setempat.
“Ini adalah selaras dengan sasaran Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) untuk membina masyarakat luar bandar yang kendiri dan inklusif menjelang 2030.
“Untuk makluman semua, ini adalah kali kedua kita menganjurkan program ini di Bahagian Sarikei.
“Pada program VTP Siri 2/2023 yang lalu, peserta dari Bahagian Sarikei adalah seramai 62 orang,” katanya ketika berucap pada majlis penangguhan VTP Siri 1/2025 Bahagian Sarikei, baru-baru ini.
Katanya, untuk VTP Siri 1/2025 di Bahagian Sarikei, sebanyak tiga jenis kursus yang praktikal ditawarkan iaitu Kursus Asas Tanaman Secara Fertigasi dan Hidroponik, Kursus Kraftangan Manik dan Sugu Tinggi dan Kursus Asas Kulinari dan Pastri.
“Tahniah kepada semua peserta kerana sanggup meluangkan masa bagi menjayakan program kali ini.
“Tujuan penganjuran kursus adalah bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan; pemerkasaan masyarakat luar bandar; meningkatkan taraf dan kualiti hidup peserta dan melahirkan masyarakat rumah panjang dan kampung tradisi berkaitan patriotik, berinisiatif, berilmu dan berdikari.
“Selain itu, dalam jangka panjang ia dapat membantu memajukan rumah panjang atau kampung tradisi masing-masing dan ke arah masyarakat luar bandar yang kendiri dan inklusif selaras dengan matlamat PCDS 2030,” katanya.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Industri Akademi CENTEXS Dr Nadianatra Musa.
Oleh Earl Anek