SIMANGGANG: Program tiga kelas serentak yang berlangsung di Dewan Muhibbah, Sri Aman baru-baru ini berjaya mencetuskan semangat keusahawanan dalam kalangan komuniti setempat apabila menghimpunkan peserta bagi mengikuti tiga kursus praktikal berpotensi tinggi iaitu Kelas Asas Cendawan, Kelas Sebi Resin dan Kelas Sosej Sejuk Beku.
Program yang dilaksanakan sebagai inisiatif memperluaskan akses latihan kemahiran ke seluruh Sarawak itu membuka ruang kepada peserta memperoleh ilmu praktikal, meningkatkan kreativiti serta meneroka peluang menjana pendapatan menerusi bidang keusahawanan yang semakin mendapat permintaan.
Menerusi Kelas Asas Cendawan, peserta didedahkan kepada teknik penanaman, penjagaan dan pengurusan cendawan secara sistematik selain memahami potensi industri agro yang mampu menjadi sumber pendapatan mampan.
Tenaga pengajar, Rokiah Banseng berkata, komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan peserta membuktikan minat masyarakat terhadap bidang pertanian moden semakin meningkat.
“Saya berharap ilmu yang dikongsikan menjadi titik permulaan kepada para peserta untuk membina perniagaan sendiri sekali gus menjana pendapatan yang mampan. Semoga ilmu ini terus dimanfaatkan demi kesejahteraan keluarga dan komuniti,” katanya.
Dalam pada itu, Kelas Seni Resin memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknik menghasilkan produk seni kreatif yang mempunyai nilai komersial.
Penyelaras program merangkap tenaga pengajar, Angela Ann berkata, program berkenaan bukan sekadar menyampaikan ilmu, malah membina keyakinan peserta untuk berani menceburi bidang perniagaan.
“Belajar hari ini, mulakan langkah perniagaan esok dan bina masa depan melalui kemahiran yang dimiliki. Program ini membuka ruang melahirkan lebih ramai usahawan yang mampu meningkatkan taraf ekonomi keluarga serta menjadi inspirasi kepada masyarakat,” katanya.
Bagi Kelas Sosej Sejuk Beku pula, peserta mempelajari teknik penyediaan makanan sejuk beku, kaedah pembungkusan yang sesuai serta strategi asas pemasaran produk.
Tenaga pengajarnya, Regina berkata, industri makanan sentiasa menawarkan peluang perniagaan yang luas sekiranya diusahakan secara konsisten dan terancang, sambil berharap lebih ramai peserta berani memulakan perniagaan sendiri.
Secara keseluruhannya, Program tiga kelas serentak Sri Aman membuktikan pembangunan kemahiran merupakan pemangkin penting dalam melahirkan usahawan baharu dan memperkukuh ekonomi komuniti.
Penganjur turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta atas komitmen yang diberikan serta berharap program seumpama ini dapat diperluaskan ke seluruh Sarawak bagi melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya saing dan berupaya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Oleh Adi Safarman




