
LUBOK ANTU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu terus mempertingkat usaha mencegah jenayah komersil melalui penganjuran Program Temu Mesra serta penampalan poster jenayah siber di dua stesen minyak utama di Pekan Lubok Antu dan Engkilili.
Program anjuran Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Lubok Antu itu memberi tumpuan kepada pendedahan trend penipuan terkini, selain meningkatkan keupayaan masyarakat mengenal pasti taktik jenayah yang sering menyasarkan penduduk luar bandar.
Antara pengisian utama termasuk taklimat fungsi Pusat Tindak Balas Penipuan Kebangsaan (NSRC), Talian 997, penggunaan aplikasi Whoscall, promosi kod QR e-Book Jenayah Komersial, serta hebahan isu keldai akaun yang kian membimbangkan
Dalam masa sama, pasukan polis turut menampal poster keselamatan siber di stesen minyak berdaftar di bawah Go-To-Safety-Point (GTSP), memastikan maklumat pencegahan dapat dicapai dengan cepat oleh orang ramai.
Program tersebut mendapat sambutan positif, dengan penduduk menyatakan kesediaan menjadi ejen penyebar maklumat bagi membantu ahli keluarga dan rakan-rakan mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.
IPD Lubok Antu menegaskan komitmen mereka untuk mempergiat program pencegahan jenayah komersil dari semasa ke semasa bagi memastikan masyarakat kekal peka terhadap modus operandi penipu dan seterusnya mengekang kerugian kewangan akibat jenayah siber.
Oleh Adi Safarman