
SARIKEI: Penganjuran Sukan Rakyat Komuniti Kerubong/Kerapa dan Pertandingan Futsal Terbuka 2025 mengangkat semangat komuniti dalam program pemimpin bersama rakyat yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir Yusuf Abd Wahab, semalam.
Program tersebut berlangsung dengan meriah, melibatkan pelbagai penyertaan daripada penduduk setempat yang hadir bagi memeriahkan aktiviti sukan dan kejiranan.
Kesemua acara diadakan di Padang Futsal Kerubong, kemudahan yang telah siap dibina melalui peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2020 Parlimen Tanjong Manis.

Yusuf meluangkan masa menyantuni komuniti setempat, selain beramah mesra dengan para peserta yang mengambil bahagian dalam kedua-dua acara tersebut.
Dalam ucapan ringkasnya, beliau menekankan kepentingan program ini dalam mengeratkan hubungan masyarakat, memupuk gaya hidup sihat serta memperkukuh perpaduan di peringkat akar umbi.
Yusuf turut mengucapkan penghargaan kepada pihak penganjur, jawatankuasa komuniti, para peserta dan sukarelawan yang telah memainkan peranan penting memastikan kelancaran keseluruhan program.
Katanya, penglibatan aktif masyarakat dalam program sebegini membuktikan wujudnya semangat kerjasama yang kukuh, selain menyemarakkan aktiviti sosial yang memberi manfaat kepada komuniti.
Oleh Earl Anek