
SARATOK: Program STAR ‘Say No Take Action & Rise’ yang memfokuskan kepada intervensi interaktif mengenai keburukan penyalahgunaan dadah akan diadakan pada Ahad ini bermula seawal 6.30 pagi di Dewan Masyarakat Sri Krian Saratok serta Dewan Terbuka Sri Kalaka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata program tersebut dianjurkan oleh Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Negeri Sarawak bersama Pusat Khidmat ADUN N.38 Kalaka dengan kerjasama Lembaga Amanah Kebajikan Islam Saratok (LAKIS) bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap bahaya dadah.
Beliau berkata masalah penyalahgunaan dadah tidak boleh ditangani oleh pihak berkuasa semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan semua pihak termasuk pemimpin masyarakat, keluarga, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat.
“Kita sebagai pemimpin akar umbi mesti bertindak bersama kerana masalah dadah merupakan masalah sejagat yang memberi kesan kepada seluruh lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Persediaan Program STAR Potensi Diri Tanpa Dadah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Saratok, Muhammad Dino Amid di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Saratok, hari ini.
Menurut Mohamad Duri, perkembangan teknologi dan penggunaan telefon bimbit menyebabkan aktiviti pengedaran dadah menjadi semakin mudah, sekali gus meningkatkan risiko penagihan terutama dalam kalangan golongan muda.


Katanya, golongan pelajar dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima merupakan kumpulan yang mudah terdedah kepada pengaruh rakan sebaya sebelum risiko tersebut berlanjutan ke peringkat pengajian tinggi.
“Yang menjadi mangsa akhirnya ialah keluarga, khususnya ibu bapa. Kita sering mendengar pelbagai kes berkaitan penagihan dadah yang membawa kepada keganasan dan keruntuhan institusi keluarga,” katanya.
Beliau menegaskan usaha membanteras penyalahgunaan dadah perlu bermula dari rumah melalui peranan ibu bapa, selain diperkukuhkan oleh tindakan agensi penguat kuasa dan sokongan masyarakat secara menyeluruh.
Menurut statistik Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), peningkatan kes penagihan dadah dalam kalangan belia di Sarawak berpunca daripada tekanan hidup, pengaruh rakan sebaya, kemiskinan serta kekurangan program pendidikan pencegahan yang berkesan terutama di kawasan pedalaman.
Beliau berkata cabaran lain di kawasan luar bandar termasuk akses terhad kepada maklumat dan perkhidmatan kesihatan, yang seterusnya memburukkan kesan penyalahgunaan dadah seperti kemerosotan kesihatan, peningkatan jenayah, keruntuhan institusi keluarga dan beban ekonomi kepada masyarakat.
Program berkenaan menyasarkan penyertaan belia berusia 13 hingga 25 tahun, ibu bapa serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dengan objektif meningkatkan kesedaran mengenai kesan fizikal, mental dan sosial dadah melalui aktiviti interaktif yang menarik dan bermakna.
Selain ceramah, program itu turut menampilkan demonstrasi daripada AADK Sarawak, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bahagian Narkotik, Jabatan Penjara Malaysia dan Jabatan Kastam termasuk demonstrasi anjing pengesan.
Pameran khas juga akan disertai oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Sri Aman, Tabung Haji Sarikei, Pejabat Penjara Sri Aman, Juara Travel Kuching, AADK serta PDRM.
Dalam perkembangan berkaitan kesihatan awam, Mohamad Duri turut menyambut baik usaha kerajaan Sarawak untuk membangunkan sebuah Pusat Kanser Sarawak bagi mengurangkan kebergantungan pesakit terhadap pusat rawatan kanser di Semenanjung Malaysia.
Menurut beliau, berdasarkan pengumuman pada Persidangan DUN Sarawak baru-baru ini, Pusat Kanser Sarawak berkapasiti 310 katil disasarkan siap menjelang 2032 dengan kontrak projek dijangka dianugerahkan pada suku pertama 2027.
“Ini adalah insentif serta kesungguhan kerajaan Sarawak dalam menyediakan kemudahan rawatan dan penyelidikan kanser yang komprehensif serta moden demi kesejahteraan rakyat di wilayah ini,” katanya.
Oleh Adi Safarman