
BEKENU: Tradisi Hari Raya bukan sekadar sambutan bagi yang beragama Islam, tetapi menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim merentas budaya.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, tahun ini sambutan kita bertema “Raya Serumpun, Tradisi Harmoni”.
“Tema ini membawa maksud sambutan Hari Raya yang diraikan secara bersama oleh masyarakat pelbagai kaum dan etnik dalam suasana penuh muhibah dan perpaduan.
“Dalam konteks Daerah Subis yang terdiri daripada pelbagai bangsa seperti Kedayan, Melayu, Dalik, Miriek, Melanau, Penan, Iban, Cina dan lain-lain, tema ini menggambarkan keunikan kita sebagai satu komuniti yang hidup dalam semangat serumpun satu akar, satu budaya Malaysia yang majmuk,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Melanggar Meja dan Ramah Tamah Aidilfitri Daerah Subis di sini, hari ini.
Tambahnya, secara ringkas, tema “Raya Serumpun, Tradisi Harmoni” mengangkat semangat perpaduan Subis dalam menyambut Syawal merayakan kepelbagaian dalam satu keluarga besar yang harmoni.
“Penganjuran majlis ini amat bertepatan dengan hasrat kita untuk menggalakkan penyertaan komuniti setempat dalam program sosial, kemasyarakatan dan budaya, memperkasa aktiviti pelancongan daerah, serta membudayakan semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk di Subis.
“Sambutan Aidilfitri ini bukan sahaja bermakna kepada umat Islam, malah turut dirai oleh rakan-rakan bukan Islam.
” Amalan kunjung-mengunjungi, berkongsi makanan, pakaian dan adat resam dalam suasana harmoni adalah bukti kejayaan kita membina satu masyarakat yang bersatu padu,” jelasnya lagi.
Sehubungan itu, Hari Raya juga adalah menjadi landasan untuk kita menzahirkan rasa syukur atas nikmat keamanan, kestabilan ekonomi, kemajuan pembangunan dan rezeki yang melimpah ruah.
“Sebagai rakyat, sewajarnya kita terus memberikan sokongan padu kepada usaha Kerajaan dalam meneruskan agenda pembangunan yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.
“Kehadiran semua ini menjadi lambang kekuatan dan kerjasama erat yang telah kita bina bersama.
“Budaya ‘open house’ dan amalan ‘melanggar meja’ seperti hari ini amat penting untuk mengukuhkan lagi hubungan silaturahim antara semua lapisan masyarakat,” ujarnya lagi.
Pada majlis itu, sebanyak 37 khemah raya daripada Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), agensi-agensi kerajaan, persatuan, masjid dan surau turut serta memeriahkan majlis ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu Datuk Rosey Yunus, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED) Datuk Dr Ripin Lamat dan Timbalan Menteri Kesihatan Dato Lukanisman Awang Sauni, Residen Miri Galong Laung, Pegawai Daerah Subis Norlila Ulis dan ketua-ketua masyarakat setempat.
Oleh Adum Liu