ERA BAHARU… Pihak Advansia (Sarawak) Sendirian Berhad sedang melakukan demonstrasi semburan racun
dengan menggunakan pesawat dron bersempena dengan Majlis Menandatangani MoU Pengoperasian Kilang
SPPC Stumbin di Sri Aman pada 1 April lepas.
Kerajaan tidak semestinya harus menjadi menjadi ‘pemain utama’ bagi mempertingkatkan lagi produktiviti penanaman padi serta penghasilan beras demi menampung keperluan penduduk di dalam negara ini.
Ini kerana pihak swasta juga boleh mengambil bahagian dalam usaha ini dengan menyertai pendekatan baharu yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).
Pendekatan baharu yang dilaksanakan oleh MAFI itu digelar sebagai inisiatif SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) dengan pihak tersebut boleh berperanan sebagai pemain industri untuk meneraju subsektor padi dan beras di negara ini.
Di bawah inisiatif baharu itu, pihak swasta dilihat berkebolehan dalam memperkenalkan inovasi dan idea baharu yang seterusnya dapat menjadikan lagi industri penanaman padi serta penghasilan beras menjadi lebih efisien.
“Terdapat 19 syarikat peneraju SMART SBB di seluruh negara ketika ini (awal April) dan mereka yang memiliki kapasiti untuk menjadi syarikat peneraju inisiatif ini amat dialu-alukan untuk berbuat demikian.
“Kesemua syarikat peneraju SMART SBB dibenarkan saling bekerjasama bagi merancakkan lagi industri penanaman padi serta penghasilan beras di negara ini,” kata Menterinya, Datuk Seri Ronald Kiandee.
Selain itu penglibatan pihak swasta dalam industri tersebut kata beliau juga adalah penting bagi membantu kerajaan mencapai sasaran Kadar Tahap Sara Diri atau SSL beras negara pada paras 80 peratus dan 60 peratus untuk Sarawak menjelang tahun 2030.
Menurut beliau lagi kadar SSL beras negara ketika ini berada pada paras sekitar 63 peratus yang melibatkan keluasan sawah padi sekitar 300,000 hektar dengan kehadiran pihak swasta amat diperlukan bagi memperingkatkan kadar itu.
“Lagi pun Kerajaan Sarawak pada masa sama hanya dapat memenuhi sekitar 38 peratus tahap SSL beras negeri.
“Atas sebab itulah penglibatan pihak swasta amat perlu kerana mereka mampu mewujudkan pengurusan yang lebih efisien dan memanfaat kaedah baharu serta teknologi moden yang diperkenal melalui SMART SBB,” katanya.
Ronald juga berkata penglibatan pihak swasta dijangka dapat membantu meningkatkan hasil pengeluaran padi daripada 3.5 tan metrik per hektar kepada 8 tan metrik melalui tanah sedia ada di masa akan datang.
Terdahulu beliau pada 1 April lepas telah menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pengoperasian Kilang Pengeluaran Dan Pemprosesan Benih Padi (SPPC) di Stumbin, Sri Aman.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri I MAFI, Datuk Seri Hamzah Ahmad, Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Martin Ben, Pengerusi PadiBeras Nasional Berhad (BERNAS), Dato Sri Rohani Abdul Karim, Residen Sri Aman, Datu Indit Bangai dan pegawai tinggi kerajaan.
Program SMART SBB di Sarawak kini sedang dilaksana di atas sawah berkeluasan 60 hektar di L2 dan L3 Tanjung Bijat, Sri Aman sambil diselia oleh Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Batang Lupar dengan kerjasama Syarikat Peneraju Advansia (Sarawak) Sendirian Berhad.
Program bagi Musim Utama tahun 2021 serta Luar Musim tahun 2022 ini melibatkan seramai 245 orang peserta dan dijangka dapat meningkatkan pendapatan pesawah sehingga 50 peratus melalui kemudahan infrastruktur dan mekanisasi ladang yang lengkap.
Beberapa kawasan lain di bawah seliaan IADA Batang Lupar juga sedang diusahakan oleh BERNAS melibatkan anggaran kawasan seluas 35 hektar dengan 79 pesawah dilihat berpotensi untuk memperluaskan lagi program berkenaan dalam negeri ini.
Oleh VALENTINE NGUMBANG