
MIRI: Program ‘Waste to Wealth’ atau Sisa kepada Sumber Bernilai yang berlangsung di Hab Hijau Miri mencatatkan kejayaan memberangsangkan dengan jumlah kutipan bahan kitar semula yang tinggi hasil kerjasama pelbagai pihak.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Adam Yii Siew Sang telah melawat ke program tersebut bagi meninjau pelaksanaan aktiviti yang melibatkan rakan strategik MBM dalam usaha memperkukuh amalan kelestarian alam sekitar.
Dua rakan kerjasama MBM terlibat secara langsung dalam aktiviti kutipan pada program berkenaan.
Syarikat Eye 1 Recycle menjalankan pengumpulan sisa kertas, peralatan elektrik serta barangan elektronik terpakai, dengan jumlah kutipan melebihi 200 kilogram setakat hari ini.

Sementara itu, Sekita Hijau pula memberi tumpuan kepada kutipan minyak masak terpakai dan berjaya mengumpulkan lebih 800 kilogram, sekali gus membantu mengurangkan risiko pencemaran alam sekitar akibat pembuangan tidak terkawal.
Adam Yii, program tersebut disifatkan sebagai satu kejayaan dalam memupuk budaya kelestarian dan tanggungjawab bersama terhadap penjagaan alam sekitar di Miri.
“MBM akan mempertimbangkan untuk menganjurkan lebih banyak program seumpama itu pada masa akan datang bagi menggalakkan penyertaan lebih meluas daripada masyarakat setempat,” katanya.
Program seumpama ini bukan sahaja membantu mengurus sisa secara lebih sistematik, malah mendidik masyarakat melihat sisa sebagai sumber yang boleh dimanfaatkan.
Oleh Liong Chai Ling