
SIBU: Program Senaman Warga Emas Aktif Peringkat Bahagian Sibu Siri 5/2025 menjadi landasan penting bagi membina jaringan hubungan sekali gus mengukuhkan kerjasama dan perpaduan antara warga emas dengan agensi, masyarakat serta penggiat kecergasan komuniti.
Pejabat Belia dan Sukan Bahagian (PBSB) Sibu menerusi kenyataannya memberitahu, program tersebut menyokong usaha kerajaan bagi memastikan warga emas mendapat kesaksamaan sosial dari segi penglibatan dalam aktiviti sukan dan kecergasan.
Program anjuran PBSB Sibu dengan kerjasama Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sibu itu telah disertai oleh seramai 40 warga emas, bertujuan melatih golongan tersebut untuk kekal aktif dan sihat, selain menjadikan aktiviti sukan serta kecergasan sebagai sebahagian daripada budaya hidup seharian.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk senamrobik, senam kerusi dan berjalan pantas yang disertai dengan penuh semangat oleh para peserta.
Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada rakan strategik iaitu Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sibu dan Kelab Dudong Pickleball atas kerjasama menjayakan program tersebut.
Sementara itu, program siri keenam dijangka akan diadakan sempena sambutan Hari Sukan Negara peringkat Bahagian Sibu yang bakal berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu esok.
Oleh Akun Giman