
BINTULU: Program Semarak Kemerdekaan bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi platform untuk menghayati nilai kemerdekaan, memperkukuh perpaduan dan menyemai semangat cintakan Sarawak dalam kalangan masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, penganjuran program itu memberi peluang kepada rakyat pelbagai kaum dan latar belakang untuk bersama-sama menghayati erti kemerdekaan serta menghargai keamanan yang dinikmati hari ini.
Menurut beliau, kemerdekaan yang sebenar bukan hanya merujuk kepada kebebasan daripada penjajahan, malah keupayaan rakyat untuk mengekalkan keharmonian, saling menghormati dan bersama-sama memacu pembangunan negeri.
“Program ini menjadi wadah untuk menyemarakkan semangat cintakan Sarawak serta menghayati erti kemerdekaan dalam kalangan rakyat.
“Kemerdekaan yang sebenar juga bermaksud keupayaan kita untuk terus hidup dalam suasana aman, bersatu padu, saling menghormati serta berganding bahu membangunkan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program Semarak Kemerdekaan anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Dewan Serbaguna Kampung Baru di sini, hari ini.
Sementara itu, Pegawai UKAS Bahagian Bintulu, Jerida Andin berkata, program itu merupakan antara inisiatif UKAS untuk mendekati rakyat melalui pelbagai aktiviti komuniti yang memberi penekanan kepada perpaduan, keharmonian dan semangat patriotisme.
“Melalui pendekatan ini, kita berharap masyarakat akan terus menghargai keharmonian yang dikecapi serta bersama-sama menyokong pembangunan Sarawak,” katanya.
Program tersebut dimeriahkan dengan pertandingan nyanyian lagu patriotik, pertandingan mewarna dan pertandingan busana kanak-kanak sebagai sebahagian daripada usaha menyemarakkan Sambutan Hari Sarawak yang diraikan pada 22 Julai.
Selain Program Semarak Kemerdekaan, UKAS turut melaksanakan UKAS Bersama Komuniti, Juh Ngopi Bersama UKAS dan Juh Randau bagi mengukuhkan hubungan antara kerajaan, wakil rakyat dan masyarakat.
Oleh Carolyne Utih