
SIMANGGANG: Pusat GiatMARA Sri Aman terus menyemarakkan semangat berkongsi rezeki sempena Ramadan menerusi penganjuran program Semarak Kasih Ramadan 1447H Pusat GiatMARA Sri Aman, yang menjadi tema sambutan bagi seluruh pusat GiatMARA di negara ini.
Pengurus GiatMARA Sri Aman, Abdul Manan Abdul Latip berkata program tersebut mengetengahkan konsep berinfak dan berkongsi rezeki khususnya pada Ramadan dengan melibatkan penyertaan aktif warga pusat berkenaan.
Menurutnya, program tersebut dijayakan hasil sumbangan staf dan pelatih yang menyumbang daripada pelbagai sumber termasuk kewangan serta bahan mentah bagi penyediaan bubur lambuk.
“Melalui semangat kebersamaan ini, staf dan pelatih bergotong-royong menyediakan bubur lambuk sebagai tanda kebersamaan serta keprihatinan kepada masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata, aktiviti gotong-royong memasak bubur lambuk itu melibatkan 29 pelatih dan enam kakitangan Pusat GiatMARA Sri Aman.
Tambah beliau, usaha tersebut turut mendapat bantuan daripada kakitangan Pusat GiatMARA Lubok Antu yang hadir bagi sama-sama menjayakan program berkenaan.
“Program gotong-royong bermula seawal 9.00 pagi hingga 1.00 petang sebelum bubur lambuk diagihkan kepada orang ramai di perkarangan Pusat GiatMARA Sri Aman pada 3.00 petang,” jelasnya.

Dalam program tersebut, sebanyak 500 pek bubur lambuk berjaya disediakan untuk diagihkan kepada masyarakat sekitar.
Turut hadir memeriahkan program ialah Pegawai MARA Daerah Sri Aman, Amir Aiman Hambalie bersama kakitangan Pejabat MARA Daerah Sri Aman.
Abdul Manan berkata, penganjuran program berkenaan merupakan edisi kelima sejak ia mula diperkenalkan pada 2022.
Beliau turut merakamkan ribuan terima kasih kepada semua pelajar dan kakitangan GiatMARA Sri Aman atas komitmen serta kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program tersebut.
Pada masa sama, beliau turut menghargai sokongan kakitangan GiatMARA Lubok Antu yang sudi menghulurkan bantuan sepanjang pelaksanaan program itu.
“Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memupuk semangat kebersamaan, selain menyemai budaya berkongsi rezeki dalam kalangan warga GiatMARA dan masyarakat,” katanya.
Oleh Adi Safarman