
MAJLIS pelancaran dirasmikan Pakar Perubatan Kesihatan Awam yang juga Ketua Sektor Pembangunan Kesihatan Keluarga (PKB) Miri, Dr Izzaty Hamidi.
MIRI: Program ‘Sekolahku Sihat, Stail Kita’ berupaya memperkukuh pembudayaan amalan hidup sihat dalam kalangan murid melalui pendekatan lebih segar dan interaktif.
Program anjuran Pejabat Kesihatan Bahagian Miri (PKB Miri) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Miri serta Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Lutong itu dilancarkan di sekolah berkenaan, Rabu lalu.
Majlis pelancaran dirasmikan Pakar Perubatan Kesihatan Awam yang juga Ketua Sektor Pembangunan Kesihatan Keluarga (PKB) Miri, Dr Izzaty Hamidi.
Beliau berkata kejayaan pelaksanaan program berkenaan memerlukan kerjasama bersepadu antara pihak sekolah, ibu bapa dan murid.
“Program ini memberi ruang kepada murid untuk meningkatkan pengetahuan serta membudayakan gaya hidup sihat dalam kehidupan seharian sejajar dengan aspirasi #SihatItuSaya,” katanya dalam ucapannya pada majlis itu.

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti interaktif diadakan termasuk reruai pameran kesihatan meliputi pemakanan sihat, kesihatan mental, kebersihan diri serta pendidikan sentuhan selamat.
Turut diadakan reruai kesihatan pergigian, persembahan interaktif bertajuk ‘Makan Sayur dan Buah’ serta aktiviti senam aerobik bagi menggalakkan penglibatan aktif murid.
Program itu turut memperkenalkan enam teras utama iaitu kantin sihat, penyediaan makanan sihat oleh pengusaha kantin, pembudayaan minum air kosong, pengambilan sayur dan buah, gaya hidup aktif serta pemantauan kecergasan melalui SEGAK.
Seramai 600 peserta terdiri daripada murid dan guru menghadiri program berkenaan, selain PKB Miri turut menyampaikan Kit Program Hidangan Berkhasiat di Sekolah (HiTS) kepada pihak sekolah sebagai sokongan terhadap pelaksanaan aktiviti pemakanan sihat.
Turut hadir Timbalan Pegawai Pendidikan, Sektor Pembangunan Murid PPD Miri, Grispin Sahah, serta Guru Besar SJKC Chung Hua Lutong, Lai Cheo Tian.
Oleh Liong Chai Ling