
PAKAN: Program Sejati MADANI bukan sekadar menyediakan kemudahan kepada komuniti rumah panjang, malah berperanan mendidik masyarakat mengenai kepentingan pengurusan ekonomi dan penjanaan pendapatan secara mampan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom, berkata inisiatif anjuran Pejabat Pembangunan Negeri (SDO) di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri tersebut amat signifikan kepada masyarakat luar bandar kerana ia memberi pendedahan kepada komuniti tentang asas ekonomi, keusahawanan dan pengurusan modal secara berkesan.
“Program Sejati MADANI ini sangat istimewa sebab ia mengajar kita tentang ekonomi, cara mencari modal sendiri tanpa perlu mengharap bantuan kerajaan.
“Ia seiring dengan pelaksanaan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan projek Transformasi Luar Bandar (RTP) yang menjadi antara instrumen penting memperkukuh kesejahteraan rakyat, khususnya melalui peningkatan produktiviti di kawasan pedalaman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis perasmian Excavator Program Sejati MADANI Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Regina Angoi di Batu 13, Jalan Engkamop Pakan, baru-baru ini.
Mawan turut menggalakkan komuniti rumah panjang menggunakan peruntukan MRP yang disediakan sebagai modal permulaan bagi menjana projek ekonomi yang mampu memberi pulangan jangka panjang kepada komuniti setempat.
“Komuniti jangan menghabiskan peruntukan tanpa memberi pulangan kepada mereka.
“Keuntungan daripada aktiviti itu akan memberi hasil kepada mereka dan lebihan boleh digunakan sebagai modal untuk aktiviti ekonomi seterusnya,” katanya.
Beliau turut mengingatkan komuniti luar bandar supaya mengamalkan pengurusan kewangan yang berdisiplin, termasuk menabung dan memanfaatkan hasil keuntungan yang diperoleh daripada aktiviti ekonomi secara bijaksana.
Katanya, langkah ini penting bagi memastikan komuniti mempunyai sumber kewangan yang kukuh untuk memperluaskan aktiviti ekonomi, meningkatkan kapasiti operasi serta merancang pembangunan masa depan secara lebih teratur dan mampan.
Dalam pada itu, beliau berkata kawasan Pakan yang mempunyai lebih 200 rumah panjang mempunyai potensi besar untuk memperkukuh ekonomi komuniti melalui pelaksanaan program seumpamanya, khususnya apabila dilaksanakan secara terancang dan bersepadu dengan keperluan pembangunan setempat.
“Antara tumpuan saya ketika ini adalah pelaksanaan projek jalan kebun bagi memperbaiki akses ekonomi komuniti, termasuk memudahkan pergerakan hasil pertanian dan aktiviti pengeluaran di peringkat rumah panjang,” katanya.
Turut hadir Pegawai Pembangunan Negeri Zon Sri Aman, Radiah Mohamed; Pegawai Daerah Pakan, Mohd Irwan Abdullah @ William Manggoi; Pegawai Pertanian Bahagian Sarikei, Jessyca Andrew Mujah; dan Tuai Rumah Regina Angoi.
Oleh Earl Anek