
SARATOK: Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) mampu memanfaatkan komuniti setempat menerusi pelaksanaan program peningkatan sosioekonomi melibatkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri turut menyeru agar JKKK memanfaatkan setiap peruntukan yang disalurkan kepada organisasi terbabit dengan sebaik-baiknya bagi bergerak maju dan mencapai pembangunan dalam semua aspek.
“Saya berharap peruntukan yang telah diagihkan kepada semua JKKK menerusi geran SejaTi MADANI itu dapat digunakan dengan sebaik-baiknya agar ia dapat memberikan impak positif kepada masyarakat dan penduduk kawasan bidang kuasa JKKK masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis Ramah Tamah Aidilfitri dan simbolik penyerahan sumbangan Ketua Isi Rumah (KIR) SejaTi MADANI Kampung Kaba, di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, seramai 117 KIR daripada Kampung Kaba telah menerima sumbangan KIR SejaTi MADANI JKKK Kampung Kaba sebanyak RM500 seorang.
“Inilah hasilnya apabila sesuatu program tersebut dilaksanakan dengan sebaiknya, semua penduduk kini dapat merasai hasilnya daripada Program SejaTi MADANI tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Kampung Kaba adalah merupakan kampung pertama yang diluluskan Program SejaTi MADANI dengan pembelian mesin jengkaut bagi tujuan penyewaan yang bernilai RM100,000, baru-baru ini.
“Program ini bertujuan mengupayakan komuniti melalui aktiviti peningkatan sosioekonomi. Selepas mereka mendapat dana dan dilaksanakan, contohnya aktiviti ekonomi berasaskan industri pelancongan komuniti ataupun aktiviti ekonomi berasaskan kraf tangan ataupun hasil pertanian.
“Kita tidak mahu ia berakhir setakat itu sahaja tetapi harus dikembangkan menjadi aktiviti perniagaan,” katanya.
Sementara itu, SejaTi MADANI yang dilancarkan pada 25 Mac lalu merupakan satu bentuk program bantuan kerajaan yang bertujuan mengupayakan komuniti melalui aktiviti peningkatan sosioekonomi.
Dalam perkembangan lain, Mohamad Duri turut memberikan pencerahan beberapa projek berimpak tinggi di Kampung Kaba yang sudah, sedang dan akan dilaksanakan kesan daripada kestabilan politik negeri Sarawak yang stabil di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dapat memastikan pembangunan luar bandar dapat dirancang dan dilaksanakan melalui projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), di Kampung Kaba ini contohnya banyak projek pembangunan tepahpun dilaksanakan,” ujarnya.
Turut hadir Ahli Dewan Negara, Senator Pele Peter Tinggom, Pegawai Daerah Saratok, Mohammad Dino Amid, Ketua Unit Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (SDO) Bahagian Betong, Radiah Mohamad dan Ketua Kampung Kaba, Ahmad Diwi Deli.
Oleh Adi Safarman