Program ‘Segulai Sejalai’ perkukuh hubungan pemimpin dan rakyat di Lubok Antu

Facebook
WhatsApp
ROY Angau Gingkoi ketika merasmikan Program Segulai Sejalai Majlis Pemimpin Bersama Rakyat P.203 Lubok Antu di Rumah Machau Seman, Nanga Kumpang, semalam. Foto: Roy Angau Gingkoi

LUBOK ANTU: Program ‘Segulai Sejalai’ Majlis Pemimpin Bersama Rakyat P.203 Lubok Antu menjadi platform penting bagi wakil rakyat turun padang mendengar secara langsung isu dan keperluan masyarakat setempat.

Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi berkata, pendekatan sedemikian membolehkan permasalahan rakyat, khususnya berkaitan infrastruktur, jalan raya dan bekalan air, dikenal pasti dengan lebih jelas untuk tindakan susulan bersama agensi berkaitan.

“Program ini menjadi ruang untuk wakil rakyat mendengar secara langsung isu dan keperluan masyarakat, khususnya berkaitan infrastruktur, jalan raya dan bekalan air,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Segulai Sejalai Majlis Pemimpin Bersama Rakyat P.203 Lubok Antu di Rumah Machau Seman, Nanga Kumpang, semalam.

Menurutnya, program berkenaan turut diserikan dengan pembukaan reruai pameran dan perkhidmatan, termasuk penyertaan Klinik Kesihatan Engkilili yang menyediakan saringan serta khidmat nasihat kesihatan kepada masyarakat setempat.

PROGRAM ‘Segulai Sejalai’ Majlis Pemimpin Bersama Rakyat P.203 Lubok Antu menjadi platform wakil rakyat mendengar secara langsung isu dan keperluan masyarakat setempat di Nanga Kumpang. Foto Roy Angau Gingkoi

Dalam perkembangan berkaitan, permohonan penyediaan tangki air bagi 41 Ketua Isi Rumah (KIR) di Nanga Kumpang turut diluluskan bagi membantu penduduk yang berdepan masalah bekalan air.

Roy berkata, kelulusan itu merupakan antara usaha berterusan untuk menangani keperluan asas penduduk di kawasan berkenaan.

Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM193,000 bagi menyokong pembangunan dan aktiviti masyarakat setempat.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM25,000 disalurkan melalui geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Nanga Kumpang, manakala RM8,000 diperuntukkan kepada Biro Wanita Nanga Kumpang.

Selain itu, sebanyak RM150,000 melalui RTP 2027 disalurkan kepada JKKK Nanga Kumpang, manakala RM10,000 diperuntukkan kepada Klinik Kesihatan Engkilili.

Beliau menegaskan, keseluruhan peruntukan tersebut tidak termasuk kelulusan penyediaan tangki air untuk 41 KIR di Nanga Kumpang.

Sehubungan itu, Roy turut menggalakkan Tuai Rumah agar terus menganjurkan program seumpama berkenaan secara berterusan supaya isu setempat dapat dibincangkan secara langsung bersama pemimpin dan agensi berkaitan.

Katanya, perbincangan di peringkat akar umbi penting bagi memastikan setiap permasalahan yang dibangkitkan dapat dikenal pasti keperluannya dan dirangka tindakan susulan yang bersesuaian.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Tuai Rumah, JKKK, Biro Wanita, Klinik Kesihatan Engkilili serta seluruh warga Rumah Machau Seman, Nanga Kumpang atas persiapan dan kerjasama dalam menjayakan program berkenaan.

Oleh Adi Safarman