
SIBU: Pusat Khidmat P.211 Lanang telah melaksanakan Program Sayangi Lanang: Skim Lindung Kasih P.211 Lanang yang telah memberi manfaat kepada 60 wanita, khususnya suri rumah.
Melalui inisiatif ini, peserta yang layak hanya perlu membayar RM20 berbanding yuran tahunan sebanyak RM120, setelah mendapat subsidi daripada Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau.
Skim Lindung Kasih P.211 Lanang ini menyediakan perlindungan insurans selama 12 bulan.
Pegawai dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) turut hadir untuk mendaftarkan waris dan memberi taklimat kepada mereka mengenai butiran program tersebut.

Skim ini bertujuan untuk menyediakan perlindungan bencana domestik kepada suri rumah yang menghadapi kemalangan atau insiden semasa melakukan kerja rumah melalui Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) di bawah PERKESO.
Syarat kelayakan bagi skim ini adalah suri rumah yang merupakan pengundi di kawasan Parlimen Lanang serta berumur di bawah 55 tahun atau belum mencapai umur 54 tahun pada tarikh sumbangan pertama ke SKSSR.
Bagi yang berminat, boleh berkunjung ke Pusat Khidmat P.211 Lanang di No.2, Lorong Lanang 82, dengan membawa MyKad untuk mengemukakan permohonan.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi talian 010-3908211/010-3998211/084-336671.
Oleh Akun Giman