Program saringan kesihatan galak pengesanan awal penyakit

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

BINTANGOR: Program Saringan Kesihatan Komuniti sempena Hari Sarawak 2026 menjadi platform penting dalam menggalakkan pengesanan awal penyakit.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, ia meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan bagi melahirkan komuniti yang lebih sihat dan berkualiti.

“Tema ‘Mencegah Lebih Baik Daripada Merawat’ amat bertepatan dengan kepentingan menjaga kesihatan dalam kehidupan seharian.

“Masih ramai yang hanya mendapatkan rawatan apabila sudah mengalami masalah kesihatan, sedangkan melalui saringan kesihatan, pelbagai penyakit dapat dikesan lebih awal sebelum menjadi lebih serius,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program tersebut, bertempat di Dewan Masyarakat Bintangor, semalam.

Katanya, pengesanan awal membolehkan rawatan diberikan dengan lebih cepat, sekali gus mengurangkan risiko komplikasi serta meningkatkan peluang pemulihan pesakit.

“Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada individu, malah membantu membentuk masyarakat yang lebih peka terhadap kepentingan menjaga kesihatan.

“Rakyat yang sihat akan melahirkan keluarga yang lebih sejahtera, meningkatkan produktiviti dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat yang lebih mampan,” katanya.

Koung Hiing turut menyambut baik pelbagai aktiviti yang diadakan sepanjang program, termasuk saringan kesihatan, ceramah kesihatan, pemeriksaan dan cabutan gigi, ujian keseimbangan badan, senaman ringan serta cabutan bertuah.

Sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkasakan kesihatan komuniti, beliau turut mengumumkan geran khas sebanyak RM3,000 kepada Ahli Panel Pelawat Klinik Kesihatan Bintangor dan RM5,000 kepada Klinik Kesihatan Bintangor bagi membantu pelaksanaan pelbagai aktiviti tahunan.

Turut hadir Pakar Perubatan Keluarga yang juga Pengerusi Program, Dr. Dayang Haniffa, dan Pengerusi Ahli Panel Pelawat Klinik Kesihatan Bintangor, Ley Chee Hua.

Oleh Earl Anek