Program Sarawakku Sayang sasar 30,000 pengunjung di Sarikei

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee (tengah) bergambar bersama Datuk Len Talif Salleh, Datuk Ding Koung Hiing, Sapiah Daud dan Datu Michael Ronnie Langgong.

SARIKEI: Program Sarawakku Sayang Bahagian Sarikei 2026 yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 7 hingga 9 Ogos ini menyasarkan kehadiran sekurang-kurangnya 30,000 pengunjung.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee berkata, Bahagian Sarikei merupakan destinasi keenam penganjuran Program Sarawakku Sayang selepas Sibu.

“Memang ini merupakan satu program untuk mendekati rakyat. Jadi kita menyeru semua datang beramai-ramai supaya kita boleh mendekati dengan agensi-agensi kerajaan.

“Kita ada 45 agensi kerajaan yang akan mempamerkan perkhidmatan masing-masing dan juga inisiatif kerajaan Sarawak yang terkini di Pavilion Sarawak, termasuk projek-projek pembangunan di Bahagian Sarikei,” katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media bertempat di tapak Pentas Utama Program Sarawakku Sayang Bahagian Sarikei 2026, hari ini.

Katanya, sebanyak 141 jenis perkhidmatan akan disediakan kepada orang ramai di Pavilion Sarawak, sekali gus memudahkan pengunjung mendapatkan pelbagai maklumat dan urusan berkaitan agensi kerajaan.

Selain pameran, katanya, Dapur Sarikei turut diwujudkan bagi memberi peluang kepada usahawan tempatan mempromosikan dan menjual makanan istimewa sepanjang tiga hari program berlangsung.

“Pada Jumaat, iaitu 7 Ogos, kita bermula dengan perasmian prapelancaran oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki pada 10.00 pagi di Pavilion dan juga Dapur Sarikei, manakala Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijadual merasmikan program ini pada 8 Ogos di pentas utama.

“Pada petang 7 Ogos, seramai 164 penjawat awam dari Bahagian Sarikei akan menerima Pingat Perkhidmatan yang disampaikan oleh Premier Sarawak, sebelum diteruskan dengan Malam Kebudayaan Sarawak yang menampilkan persembahan artis jemputan bermula 8.00 malam,” katanya.

Bagi menggalakkan penyertaan orang ramai, pengunjung digalakkan mendaftar melalui e-Peraduan dengan mengimbas kod QR, mengisi maklumat peribadi serta menjawab beberapa soalan berkaitan Program Sarawakku Sayang Bahagian Sarikei 2026 bagi melayakkan mereka menyertai cabutan bertuah.

“Setakat ini, kita ada 82 hadiah yang istimewa. Hadiah utama ialah gelang emas 916 yang mungkin bernilai RM15,000.

“Cabutan bertuah akan diadakan setiap hari pada 4.00 petang, manakala hadiah-hadiah utama akan disampaikan semasa majlis penangguhan pada Ahad, 9 Ogos,” katanya lagi.

Menjawab pertanyaan media mengenai sasaran kehadiran, Chang Kee berkata pihak penganjur menjangkakan kira-kira 5,000 pengunjung menghadiri majlis perasmian rasmi, manakala keseluruhan program disasarkan menarik sekurang-kurangnya 30,000 pengunjung, berdasarkan trend sambutan yang diterima di bahagian-bahagian lain sebelum ini.

Turut hadir di sidang media tersebut ialah Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Koung Hiing; Pengarah Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU), Sapiah Daud dan Residen Sarikei, Datu Michael Ronnie Langgong.

Oleh Earl Anek