Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Program Sarawakku Sayang Bintulu tarik lebih 30,000 pengunjung
  • Utara
  • WILAYAH

Program Sarawakku Sayang Bintulu tarik lebih 30,000 pengunjung

Utusan Sarawak 3 hours ago
MAJANG Renggi ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Penangguhan Program Sarawakku Sayang 2026 Bahagian Bintulu,  petang tadi. Foto: Carolyne utih.

BINTULU: Program Sarawakku Sayang 2026 bagi Bahagian Bintulu melabuhkan tirainya hari ini selepas berjaya menarik lebih 30,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya di Lapangan Terbang Lama Bintulu.

Majlis penangguhan program tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju, Majang Renggi.

Dalam ucapannya, beliau berkata Program Sarawakku Sayang menjadi platform penting kerajaan Sarawak untuk mendekati rakyat menerusi pendekatan turun padang dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan secara terus kepada masyarakat.

TAHNIAH diucapkan kepada Tong Jong Jing pemilik hadiah cabutan bertuah utama membawa balik sebuah kereta elektrik Proton e.MAS 5.

“Program Sarawakku Sayang ini merupakan program turun padang yang membawa pendekatan lebih menyeluruh dalam mendekati rakyat di pelbagai peringkat.

“Program ini juga menjadi simbol komitmen dan kesungguhan kerajaan Sarawak dalam memastikan agenda pembangunan negeri dapat dirasai oleh seluruh rakyat tanpa ada yang terpinggir,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan mahu pembangunan di Sarawak dilaksanakan secara lebih seimbang dan tidak hanya tertumpu di bandar besar semata-mata, malah turut dinikmati masyarakat luar bandar dan pedalaman.

Menerusi konsep Pusat Sehenti Rakyat, pelbagai agensi kerajaan tampil menyediakan perkhidmatan melibatkan urusan dokumentasi, bantuan kebajikan, khidmat nasihat serta pelbagai keperluan lain bagi memudahkan rakyat mendapatkan perkhidmatan tanpa perlu menanggung kos perjalanan yang tinggi.

“Kerajaan membawa perkhidmatan terus kepada rakyat melalui pendekatan yang lebih dekat, cepat dan menyeluruh,” ujarnya.

Selain itu, sebanyak lapan syarikat turut mengadakan sesi temu duga terbuka yang melibatkan kehadiran lebih 400 pencari kerja sepanjang program berlangsung.

Dalam masa sama, program tersebut turut menjadi pemangkin pembangunan ekonomi tempatan apabila seramai 50 usahawan menyertai Bintulu Kitchen & Sales dengan jumlah hasil jualan dianggarkan melebihi RM400,000.

“Inilah pendekatan pembangunan yang kita perjuangkan iaitu pembangunan inklusif dan menyeluruh yang menyentuh kehidupan rakyat serta memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua jabatan dan agensi kerajaan, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan, ketua masyarakat, ketua kaum dan rakan media yang bertungkus-lumus memastikan program tersebut berjalan lancar.

Tambah beliau, seramai 17 penaja dan pemain industri turut menyumbang dalam bentuk barangan bernilai lebih RM100,000 bagi menjayakan program tersebut.

Sebagai tanda penghargaan kepada pengunjung, pihak penganjur turut menyediakan hadiah utama berupa sebuah kereta elektrik Proton e.MAS 5 yang menjadi antara tarikan utama sepanjang program berlangsung.

Beliau berkata, Program Sarawakku Sayang tidak akan terhenti di Bintulu sahaja, sebaliknya akan diteruskan ke destinasi seterusnya di Kapit pada penghujung Jun nanti.

“Saya berharap semangat perpaduan, kebersamaan dan sokongan luar biasa warga Bintulu akan terus menjadi inspirasi kepada rakyat di seluruh Sarawak,” katanya.

Pada akhir ucapan, beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada umat Islam, Selamat Hari Wesak kepada penganut Buddha serta Selamat Hari Gawai kepada masyarakat Dayak yang bakal meraikannya tidak lama lagi.

“Bagi mereka yang pulang meraikan Gawai di rumah panjang, pandulah dengan berhemah dan patuhi peraturan jalan raya. Jagalah keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya lagi.

Oleh Faizah Muzidi

Continue Reading

Previous: Sampah dibuang sesuka hati walaupun papan tanda amaran dipasang
Next: ​Remaja tingkatan lima hamil 35 minggu selepas berkenalan dengan lelaki di Facebook

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.