BETONG: Program Sarawak Women@Work berjaya memperkukuh agenda pemerkasaan wanita di Sarawak menerusi penyediaan peluang pekerjaan, sokongan keusahawanan serta latihan pengupayaan kapasiti yang memberi tumpuan kepada kemahiran digital dan penggunaan teknologi dalam perniagaan.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata, program selama dua hari itu dilaksanakan selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) di bawah Strategi Sektor Perkhidmatan Sosial bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam ekonomi dan pasaran pekerjaan.
Beliau berkata, antara objektif utama program ialah meningkatkan penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan, memperluaskan peluang keusahawanan menerusi pelesenan perniagaan, geran dan bantuan, selain memperkasakan kemahiran usahawan wanita dalam pemasaran, pengurusan perniagaan serta penggunaan teknologi digital.
“Program ini bukan sahaja membuka ruang kepada wanita mendapatkan pekerjaan, malah membantu mereka meningkatkan daya saing dalam bidang keusahawanan menerusi latihan dan sokongan daripada pelbagai agensi kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penangguhan Sarawak Women@Work Bahagian Betong di Dataran Medan di sini, hari ini.
Menurut beliau, sepanjang penganjuran program itu, sebanyak 12 agensi kerajaan dan rakan strategik menyediakan perkhidmatan secara terus kepada masyarakat melalui kaunter konsultansi yang menawarkan pelbagai urusan termasuk pendaftaran pelesenan, permohonan geran, bantuan keusahawanan serta khidmat nasihat.
Beliau berkata, kerjasama strategik itu turut diperkukuh menerusi penglibatan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bersama lima majikan yang menawarkan peluang pekerjaan secara bersemuka dan hibrid kepada pencari kerja.
Majikan yang mengambil bahagian ialah Seri Simanggang Hotel, Sheraton Kuching Hotel, TH Plantations Berhad, Mercure Hotel dan Imperial Hotel Miri.
Sementara itu, seramai 70 usahawan wanita menyertai latihan pengupayaan kapasiti yang dikendalikan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak Berhad (SDEC) bagi meningkatkan pengetahuan serta kemahiran dalam pemasaran digital.
Latihan bertajuk ‘Literasi Digital: Memperkasa Pemasaran Digital dengan Alat AI – ChatGPT dan WhatsApp Business Auto Reply’ (Empowering Digital Marketing with AI Tools – ChatGPT & WhatsApp Business Auto Reply) memberi pendedahan kepada peserta mengenai penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), inisiatif Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), serta latihan amali bagi memperkukuh strategi promosi dan pemasaran produk.
Dr Mohammad Razi berkata latihan tersebut bukan sekadar meningkatkan produktiviti harian usahawan, malah membantu menyediakan mereka menghadapi perubahan landskap ekonomi yang semakin dipacu teknologi dan inovasi.
Beliau berkata, maklumat serta maklum balas yang diperoleh sepanjang pelaksanaan program itu akan dimanfaatkan sebagai rujukan dalam merangka dasar dan inisiatif baharu bagi memperkasakan wanita di Sarawak.
Katanya, sinergi antara kerajaan, agensi, industri dan masyarakat perlu terus diperkukuhkan supaya penyampaian perkhidmatan menjadi lebih cekap, inklusif dan responsif, termasuk melalui penggunaan platform digital yang memudahkan akses kepada rakyat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi dan rakan strategik yang menjayakan Sarawak Women@Work, sambil menyifatkan kejayaan program itu sebagai hasil komitmen serta kerjasama erat semua pihak.
“Semoga inisiatif ini dapat diteruskan dan diperkukuhkan pada masa hadapan demi melahirkan lebih ramai wanita yang berdikari, berdaya saing serta mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri dan kesejahteraan keluarga,” katanya.
Dalam masa yang sama, seramai sembilan penerima bantuan telah menerima simbolik Bantuan Ketua Isi Rumah Wanita Sarawak (KIRWaS) dengan jumlah keseluruhan sebanyak dalam 20 penerima bagi Bahagian Betong.
Sementara itu, sehingga hari terakhir program, seramai 30 peserta telah menghadiri sesi temu duga, manakala sebanyak 30 permohonan kerja telah diterima.
Oleh Adi Safarman



