Program Santai Prihatin jadi platform perkukuh jaringan kerajaan dan komuniti

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
DATO’ Sri Doris Sophia Brodie menghadiri program Santai Prihatin Menyantuni Rakyat di Rumah Emelia Joel, Sungai Bijat Ai, Tanjung Bijat, di Lingga kelmarin. Foto Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sri Aman

LINGGA: Kerajaan terus komited memastikan kebajikan rakyat di peringkat akar umbi sentiasa diberi perhatian menerusi penganjuran pelbagai program turun padang bagi memperkukuh hubungan antara pemimpin dan masyarakat.

Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie berkata, pendekatan menyantuni rakyat secara bersemuka membolehkan pelbagai isu tempatan dikenal pasti dan ditangani dengan lebih berkesan, di samping memastikan penyampaian maklumat mengenai dasar serta inisiatif kerajaan berjalan lancar.

Menurut beliau, program seumpama itu menjadi platform penting untuk mendengar sendiri pandangan, keperluan dan cadangan masyarakat bagi membantu kerajaan merangka penyelesaian yang lebih tepat terhadap isu setempat.

“Maklum balas secara terus daripada rakyat amat berharga kerana ia membolehkan kerajaan merangka formula terbaik dalam menyelesaikan sebarang permasalahan di peringkat komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri program Santai Prihatin Menyantuni Rakyat di Rumah Emelia Joel, Sungai Bijat Ai, Tanjung Bijat, dekat sini kelmarin.

Program berkenaan menghimpunkan wakil Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Biro Wanita serta penduduk setempat, sekali gus mencerminkan kerjasama erat antara kerajaan dan komuniti dalam menjayakan agenda pembangunan.

DATO’ Sri Doris Sophia Brodie berucap pada program Santai Prihatin Menyantuni Rakyat di Rumah Emelia Joel, Sungai Bijat Ai, Tanjung Bijat, di Lingga kelmarin. Foto Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sri Aman

Turut hadir Temenggong Leonard Libau, Penghulu Jiram, Penghulu Komiti, Penghulu Biju serta 42 Tuai Rumah dari kawasan berkenaan yang bersama-sama menyokong usaha memperkukuh jaringan komunikasi antara pemimpin dan rakyat.

Dalam ucapannya, Doris turut menjelaskan pelbagai inisiatif yang sedang dilaksanakan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi memacu pembangunan negeri ke arah mencapai status wilayah maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030, termasuk memastikan pembangunan luar bandar terus menjadi keutamaan.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya terus memelihara semangat perpaduan, saling menghormati serta penerimaan antara kaum, agama dan budaya sebagai asas kepada kestabilan dan keharmonian Sarawak.

Program Santai Prihatin Menyantuni Rakyat itu diakhiri dengan sesi ramah mesra serta penyampaian sumbangan kepada komuniti setempat sebagai simbol keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat.

Oleh Adi Safarman