

ASAJAYA: Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkesempatan meraikan seramai 243 asnaf di kawasan Asajaya menerusi Program Samarahan Prihatin 2025 di Masjid Darul Rahmah, Kampung Tambirat Lot di sini, hari ini.
Program tahunan ini merupakan inisiatif yang dianjurkan oleh beliau bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan, khususnya sempena Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Menurut Rubiah, program seumpama ini bukan sekadar bantuan malah menjadi tanda keprihatinan dan sokongan moral kepada mereka yang memerlukan.
“Saya berharap dengan bantuan yang diberikan, golongan asnaf dapat merasai sedikit kelapangan dan kebahagiaan serta menyambut Ramadan dan Aidilfitri dengan penuh keceriaan,” katanya.
Dalam program ini, pihak Tabung Baitulmal Samarahan turut menyumbangkan kain pelekat kepada asnaf lelaki dan telekung kepada asnaf perempuan.

Beliau turut berkesempatan merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk Pejabat Daerah Asajaya, Pusat Khidmat Parlimen Kota Samarahan, Ketua Kaum Kampung Tambirat Lot serta sukarelawan yang bertungkus-lumus memastikan kejayaan program.
“Tanpa sokongan dan usaha gigih daripada semua pihak, program ini tidak mungkin dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan,” tambahnya.
Turut hadir, Pegawai Daerah Asajaya Jerry Zannuddin Bidin, Ketua Bahagian Tabung Baitulmal Samarahan Norzahan Bahani, Temenggong Masyarakat Melayu Bahagian Samarahan Chek Bujang, Penghulu Kampung Tambirat Tamel Mohamad serta wakil agensi yang berkaitan. – UKAS