

Datuk Francis Harden Hollis semasa hadir menyempurnakan Program Pulse90: Tarian dan Bakar Kalori di Dewan Suarah Sri Aman, semalam. Foto: Pusat Khidmat ADUN Simanggang
SIMANGGANG: Inisiatif meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan senaman berkala serta menggalakkan penyertaan dalam aktiviti fizikal terus diperkasakan melalui penganjuran Program Pulse90: Tarian dan Bakar Kalori di Dewan Suarah Sri Aman, semalam.
Timbalan Menteri Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata program seumpama itu memainkan peranan penting dalam memupuk budaya hidup sihat selain menyemai semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan penduduk setempat.
“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Cina Bandar Sri Aman serta Kelab Senamrobik Bandar Benak (KSBB) kerana berjaya menganjurkan program yang sangat bermanfaat ini.
“Usaha seperti ini menunjukkan keprihatinan penganjur untuk membina komuniti yang sihat, aktif dan bersatu padu,” katanya semasa berucap merasmikan program berkenaan.


Datuk Francis Harden Hollis semasa hadir menyempurnakan Program Pulse90: Tarian dan Bakar Kalori di Dewan Suarah Sri Aman, semalam. Foto: Pusat Khidmat ADUN Simanggang
Menurutnya, program senamrobik dan tarian aerobik moden bukan sahaja membantu meningkatkan kesihatan tubuh badan, malah menyumbang kepada kecergasan mental, keyakinan diri serta hubungan sosial antara peserta.
“Pada hari ini, kita bukan sahaja hadir untuk bersenam, tetapi juga untuk mengukuhkan nilai kekitaan dan semangat kesukarelawanan dalam komuniti. Aktiviti kecergasan yang konsisten dan menyeronokkan mampu menggalakkan lebih ramai individu menerapkan gaya hidup sihat,” ujarnya.
Beliau berkata objektif program itu meningkatkan kesedaran mengenai senaman berkala, menggalakkan penyertaan aktiviti fizikal dan memupuk kerjasama, selaras dengan usaha kerajaan negeri dalam mempromosikan kesejahteraan rakyat.
Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang turut menzahirkan rasa bangga dengan kehadiran ratusan peserta yang menunjukkan sambutan amat menggalakkan terhadap program berkenaan.
“Sambutan ini membuktikan masyarakat di Sri Aman sentiasa bersedia menyahut seruan untuk mengutamakan kesihatan serta kesejahteraan diri dan keluarga,” katanya.
Beliau berharap program berkenaan dapat dijadikan acara bulanan dan terus diperkukuhkan dengan kerjasama agensi kerajaan, persatuan dan komuniti setempat bagi memastikan lebih ramai masyarakat dapat menikmati manfaatnya.
Pada majlis tersebut, Harden mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi 2026 berjumlah RM5,000 kepada KSBB.
Oleh Adi Safarman