

BINTANGOR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing meneruskan program Pra-Gawai hari ke-11 dengan lawatan ke beberapa rumah panjang di sekitar Sungai Galan dan Sungai Baron semalam.
Katanya, ia sebagai usaha berterusan mendekati komuniti luar bandar dan meninjau sendiri keperluan penduduk setempat.
“Program Pra-Gawai yang dilaksanakan setiap tahun bukan sekadar lawatan bermusim, sebaliknya menjadi platform penting untuk memperkukuh hubungan antara wakil rakyat dan masyarakat rumah panjang.
“Saya berharap masyarakat rumah panjang terus mengekalkan semangat perpaduan dan memberi sokongan terhadap usaha pembangunan yang dilaksanakan kerajaan demi kesejahteraan bersama,” katanya ketika dihubungi media.
Koung Hiing yang juga Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintangor, berkata beliau turut meluangkan masa mendengar sendiri permasalahan dan menerima pandangan penduduk bagi memastikan setiap keperluan yang dibangkitkan dapat diberi perhatian sewajarnya.
“Saya menggesa agar pemimpin akar umbi memainkan peranan lebih proaktif dengan mengadakan perbincangan bersama ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam merancang serta melaksanakan aktiviti yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.
“Saya juga menyatakan sokongan penuh terhadap penubuhan biro wanita di setiap rumah panjang bagi memperluas penglibatan golongan wanita dalam aktiviti kemasyarakatan.
“Peranan wanita amat penting dalam menjaga kebajikan keluarga serta memperkukuh fungsi sosial masyarakat sekali gus menyumbang kepada kemajuan komuniti secara keseluruhan,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi SUPP Cawangan Bintangor, Chieng Buong Ong; Setiausaha SUPP Cawangan Bintangor, Lau Sie Hing; Bendahari SUPP Cawangan Bintangor, Lee Ngin Soon; serta Kapitan Wong Mee King dan Kapitan Wong Leh Hee.
Oleh Earl Anek