TIADA program baharu akan diwujudkan bagi menggantikan Program Podium, sebaliknya ia akan diteruskan dengan membuat penambahbaikan melalui penubuhan Jawatankuasa Penambahbaikan Program Podium.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata untuk peringkat awal, jawatankuasa tersebut akan memberi fokus kepada perancangan jangka masa pendek, melibatkan penglibatan atlet Program Road to Tokyo (RTT).
“Oleh kerana persiapan dan prestasi atlet RTT terjejas disebabkan Covid-19, maka saya rasa ada keperluan untuk kita lihat kembali program ini bagi tempoh setahun akan datang. Contohnya, ada di antara atlet memerlukan perhatian khusus oleh Institut Sukan Negara (ISN).
“Begitu juga dengan atlet yang kekurangan aksi kompetitif, kita hantar mereka ke kejohanan untuk mengekalkan suasana kompetitf itu. Contohnya pemain badminton, kita mahu mereka ke Piala Thomas dan Uber,” katanya selepas merasmikan Program ‘ISN Inspire’ di Bukit Jalil,semalam.
Program Podium adalah inisiatif Pelan Prestasi Tinggi Kementerian Belia dan Sukan bermula 2016, dalam merealisasikan pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo 2020 selain muncul 10 pasukan terbaik di Sukan Asia dan Sukan Komanwel 2018, dan ISN telah diberikan tugas mengendalikannya.
Ia melibatkan penyertaan 645 atlet terdiri daripada 503 atlet normal dan 142 atlet para dan daripada jumlah itu, 133 adalah atlet Program Podium sedia ada; 409 atlet program Kita Juara, manakala 103 lagi adalah atlet baharu yang tidak menyertai mana-mana program sebelum ini.
Reezal Marican berkata, selain perancangan jangka masa pendek berkenaan, jawatankuasa itu turut merancang program jangka masa panjang, namun perincian mengenainya akan dimaklumkan kemudian.
“Mungkin kita akan buat kajian untuk melihat program ini secara menyeluruh. Kita bukan hanya rancang untuk Tokyo 2020, tetapi juga untuk dua Sukan Olimpik akan datang, termasuk temasya sukan lain seperti Sukan Komanwel dan Sukan Asia. “Secara umumnya, saya tidak kata program sedia ada satu kegagalan, tetapi saya hanya melihat apa yang boleh ditambah baik,” katanya.-Bernama