
LIMBANG: Program Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR) yang dilaksanakan di sekolah merupakan salah satu inisiatif berterusan kerajaan bagi mengurangkan nahas jalan raya, yang kini mencatatkan kira-kira 6,000 kematian setiap tahun.
Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah, PKJR perlu diterapkan bukan saja di peringkat sekolah rendah dan menengah tetapi juga di peringkat awal kanak-kanak iaitu di Tabika Kemas.
Program pendidikan ini penting bagi meningkatkan kesedaran tentang keselamatan jalan raya dalam kalangan murid, guru, dan ibubapa.
“Pelbagai program pendidikan dilakukan sejak sekian lama, namun belum dapat mengurangkan nahas jalan raya yang mencecah 6,000 kematian setiap tahun.

“PKJR merupakan satu inisiatif yang perlu diterapkan bukan sahaja di peringkat Tabika, tetapi juga di peringkat sekolah rendah dan menengah, kerana ia sudah termasuk dalam kurikulum yang diajarkan.”
“Saya berharap perkara ini diambil berat iaitu untuk menanam sikap tentang keselamatan diri dan di jalan raya,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Hari Apresiasi Tabika/ Taska Kemas Peringkat Parlimen Limbang Tahun 2025 di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina (C) Chung Hwa Limbang semalam.
Turut hadir, Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal, Pegawai KEMAS Bahagian Limbang Khairul Amree Abdul Rahman dan tetamu lain.
Program Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR) di sekolah merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Pengangkutan untuk mengintegrasikan pendidikan keselamatan lalu lintas ke dalam kurikulum sekolah.
Melalui program pendidikan ini diharap dapat melahirkan pengguna jalan raya yang berhemah sejak usia muda melalui modul pembelajaran, aktiviti praktikal (seperti melintas jalan), ceramah, dan kempen oleh agensi berkaitan bertujuan mengurangkan kemalangan jalan.
Hasbi berkata, Kemas sentiasa bersemangat dalam semua program dengan menyampaikan ilmu pengetahuan berbentuk pendidikan awal kanak-kanak kepada semua lapisan masyarakat, tidak kira di mana sahaja.
Hari Apresiasi Tabika/Taska Kemas merupakan agenda tahunan yang dijalankan sebagai medium untuk mengeratkan hubungan antara tabika/taska dengan ibu bapa.
Program itu melibatkan dua kelas Taska Kemas dan 33 kelas Tabika Kemas iaitu seramai 143 kanak-kanak menerima sijil serta 35 kanak-kanak menerima Anugerah Kanak-Kanak Cemerlang.
Oleh Adeng Edrus