Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Program penanaman pokok semarak kesedaran alam sekitar di Hutan Simpan Sabal
  • Selatan
  • WILAYAH

Program penanaman pokok semarak kesedaran alam sekitar di Hutan Simpan Sabal

Utusan Sarawak 9 hours ago
UNTUK ALBUM… Peserta program Khidmat Masyarakat Penanaman Pokok di Hutan Simpan Sabal bergambar bersama selepas selesai program. 

BAU: Program Khidmat Masyarakat Penanaman Pokok di Hutan Simpan Sabal, Simunjan, berjaya dilaksanakan baru-baru ini sebagai inisiatif memperkukuh kesedaran terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar dan kelestarian ekosistem hutan.

Program tersebut dianjurkan oleh Jawatankuasa Smart Green Kolej Komuniti Mas Gading dengan kerjasama Jabatan Hutan Sarawak, dan disertai oleh kira-kira 80 peserta terdiri daripada pelajar, warga kolej serta kakitangan jabatan berkenaan.

Penglibatan langsung para peserta memberi pendedahan terhadap realiti kerja pemuliharaan hutan serta memupuk rasa tanggungjawab dalam menjaga sumber semula jadi negeri ini.

Menurut Penolong Pemelihara Hutan Jabatan Hutan Sarawak, Haazizkin Jumat, Sarawak merupakan negeri dengan kawasan hutan terbesar di Malaysia, meliputi 7.67 juta hektar atau 62 peratus daripada keseluruhan keluasan negeri, bersamaan 44 peratus litupan hutan negara.

“Ini menjadikan Sarawak penyumbang utama kepada kelestarian ekologi dan biodiversiti Malaysia,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi menyeimbangkan pembangunan fizikal dan pemuliharaan sumber semula jadi, termasuk Program Forest Landscape Restoration (FLR) yang dilancarkan oleh Premier Sarawak pada 15 Jun 2019, sebagai agenda utama memulihkan kawasan hutan terosot serta meningkatkan litupan hijau negeri.

Selain itu, Program Penghijauan Malaysia di bawah kempen Penanaman 100 Juta Pokok (2021–2025) turut dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan menjaga alam sekitar dan memulihkan ekosistem negara.

Selari dengan usaha itu, Jabatan Hutan Sarawak melaksanakan Kempen Greening Sarawak yang menyasarkan penanaman 35 juta pokok dalam tempoh lima tahun meliputi kawasan negeri, bandar, institusi pendidikan dan komuniti.

Kerjasama strategik dengan pelbagai pihak termasuk organisasi korporat, NGO, institusi pengajian tinggi dan komuniti setempat telah membuahkan hasil positif, sekali gus mencerminkan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap isu alam sekitar.

Setakat 6 November 2025, Sarawak mencatat jumlah penanaman tertinggi di Malaysia dengan 55,154,739 pokok ditanam, melepasi sasaran awal dan mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai peneraju utama pemuliharaan hutan negara.

Untuk rekod, pokok ke-35 juta telah ditanam oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 8 Jun 2024 di Hutan Simpan Sabal, manakala pokok ke-50 juta pula ditanam pada 12 Julai 2025 di Pusat Penyelidikan Hutan, bersempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat negeri.

Pada masa sama, Hutan Simpan Sabal dirancang untuk dibangunkan sebagai destinasi ekopelancongan unggul di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), dengan cadangan kemudahan seperti trek berbasikal, kawasan rekreasi dan perkhemahan, zon fotografi, laluan orienteering serta kompleks pelbagai guna.

Majlis perasmian program berkenaan disempurnakan oleh Pengarah Kolej Komuniti Mas Gading, Khalid Husseine Tuah, yang menegaskan bahawa aktiviti seperti ini penting dalam membentuk kesedaran generasi muda terhadap nilai hutan sebagai khazanah negara.

“Penjagaan hutan bukan sahaja penting dari segi ekologi, malah turut menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan pembangunan negara,” katanya.

Sebanyak 702 anak pokok berjaya ditanam dalam program itu melibatkan spesies belian, meranti, selangan, kapur dan lun. Usaha ini diharap dapat memperkukuh biodiversiti tempatan serta memastikan kelangsungan sumber asli untuk generasi akan datang.

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Hope Place Kuching hulur bantuan kepada keluarga lapan beranak di Petra Jaya
Next: Safiee Ahmad ziarah dan santuni keluarga Allahyarham Hassan Kelai

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.