SARIKEI: Penganjuran Program Pagi Tanpa Kenderaan Sarikei merupakan sebahagian daripada usaha Majlis Daerah Sarikei (MDS) dalam mempromosikan gaya hidup lebih sihat, bersih dan lestari.
Pengerusi MDS, Kaunselor Stephen Wong Kie Yong, berkata inisiatif itu memberi peluang kepada masyarakat untuk meluangkan masa beberapa jam tanpa kenderaan bermotor sekali gus mengurangkan pencemaran udara dan bunyi.
“Selain mengurangkan pencemaran, program ini menggalakkan gaya hidup sihat serta mengeratkan hubungan sesama komuniti.
“Ia mencerminkan dedikasi MDS terhadap pembangunan bandar yang mampan, seiring dengan visi Agenda Hijau Sarawak dan aspirasi menuju status ‘Bandar Rendah Karbon’,” katanya ketika berucap merasmikan program itu di pekarangan Dewan Suarah Sarikei, hari ini.
Tambahnya, program tersebut memberi peluang kepada penduduk untuk menikmati persekitaran bandar dalam suasana berbeza seperti berjalan kaki, berbasikal dan menyemai semangat perpaduan serta kesihatan.
Kehadiran Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen Sarikei merangkap ADUN Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, serta penglibatan lebih 600 peserta membuktikan sambutan hangat masyarakat terhadap amalan gaya hidup mesra alam.
“Sama ada anda berjalan kaki, berjoging, berbasikal atau sekadar menikmati udara segar, setiap penyertaan amat bermakna. Kami percaya bahawa perubahan besar bermula dengan langkah kecil.
“Dengan memberi ruang kepada pejalan kaki dan penunggang basikal, kita juga mewujudkan peluang untuk komunikasi yang sihat, komuniti yang erat serta suasana bandar yang lebih selesa dan inklusif,” ujarnya.
Kie Yong turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk jawatankuasa penganjur, badan bukan kerajaan (NGO), penaja, pasukan penguat kuasa, sukarelawan dan warga Sarikei atas sokongan padu mereka menjayakan program berkenaan.
“Marilah kita terus berganding bahu antara kerajaan dan komuniti demi menjadikan Sarikei sebuah bandar yang bukan sahaja indah tetapi juga sihat dan hijau,” katanya.
Dalam majlis sama, Dato’ Sri Huang Tiong Sii turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM10,000 bagi menyokong pelaksanaan program tersebut.
Oleh Earl Anek