

BERSAMA MEMERANGI DADAH.. Siri ceramah pada Program One Stop Committee (OSC) Bagi Menangani Isu Dadah dan Substance (MIDS) Daerah Kanowit 2025 di Dewan Serbaguna Lipus, Kanowit. Foto IPD Kanowit
KANOWIT: Program Jawatankuasa Sehenti (OSC) Bagi Menangani Isu Dadah dan Substance (MIDS) Daerah Kanowit 2025 anjuran OSC MIDS Kanowit bersama Majlis Pembangunan Sosial Sarawak semalam berjaya menghimpunkan kira-kira 150 peserta di Dewan Serbaguna Lipus, Kanowit.
Program tersebut telah disertai oleh ketua-ketua kaum serta penduduk rumah panjang sekitar Melipis dan Lipus.
Melalui siri ceramah oleh wakil PEMADAM, pegawai perubatan serta pegawai IPD Kanowit, peserta diberi pendedahan mengenai pencegahan penyalahgunaan dadah, rawatan dan pemulihan penagihan, situasi semasa isu dadah di komuniti, kuasa menahan oleh orang awam serta peranan VSP dalam penyaluran maklumat jenayah.
Program yang berlangsung lancar ini bertujuan meningkatkan kesedaran awam terhadap bahaya dadah, memaklumkan trend terkini penyalahgunaan, memperkasa penyaluran maklumat kepada AMANITA dan balai berhampiran, serta mengukuhkan pencegahan jenayah melalui VSP.
Polis Daerah Kanowit komited meneruskan usaha memupuk komuniti bebas dadah demi keselamatan dan kesejahteraan bersama.
Ketua Polis Daerah Kanowit, DSP Junical Ujal berkata, setakat ini kemasukkan dadah dari segi mengguna, memiliki dan membekal adalah antara ketiga daerah yang paling rendah di Sarawak.
“Bagiamanapun, usaha setiap hari oleh Pasukan Tugas Khas (IPD Kanowit) di bawah Op Tapis Khas dilakukan bagi mengesan dan menangkap kes-kes melibatkan dadah,” ujarnya.
Turut hadir Setiausaha Politik kepada Menteri Perpaduan Dr Stephen William, wakil Pegawai Daerah Kanowit Casseylia Benet serta pegawai dan anggota IPD Kanowit.
Oleh Akun Giman