
SIMANGGANG: Program Bantuan Lesen Memandu MyLesen (B2) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga menyasarkan seramai 1,000 penyertaan daripada masyarakat setempat yang layak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, program itu terbuka kepada masyarakat di DUN Lingga khususnya golongan belia dan pelajar berumur 16 tahun ke atas.
Menurut beliau, penyertaan turut dibuka kepada golongan dewasa daripada kumpulan B40 bagi membantu mereka mendapatkan lesen memandu motosikal kelas B2 pada kadar lebih rendah.
Katanya, inisiatif tersebut dilaksanakan bagi memberi ruang dan peluang kepada masyarakat di kawasan DUN Lingga untuk memiliki lesen memandu secara sah melalui bantuan yang disediakan.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan ke Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Sri Aman dekat sini, semalam.
Dalam kunjungan itu, satu sesi taklimat turut diadakan bagi membincangkan pelaksanaan program serta kaedah penyertaan kepada peserta yang layak.
Dayang Noorazah berkata, program berkenaan diyakini mampu memberi manfaat besar kepada penduduk khususnya dalam meningkatkan peluang pekerjaan dan memudahkan urusan harian.
Tambah beliau, kos mendapatkan lesen memandu sering menjadi kekangan kepada sebahagian masyarakat terutama golongan berpendapatan rendah dan belia luar bandar.
Sehubungan itu katanya, bantuan melalui program MyLesen B2 diharap dapat meringankan beban kewangan peserta sekali gus menggalakkan lebih ramai penduduk mendapatkan lesen memandu yang sah.
“Saya berharap inisiatif berkenaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat di kawasan DUN N.28 Lingga serta memberi impak positif terhadap kesejahteraan masyarakat setempat,” katanya.
Oleh Adi Safarman