
BEKENU: Program myKomuniti Perikanan (myKP) di Sarawak, yang bertempat di Kampung Kuala Sibuti, telah ditubuhkan secara rasmi pada 14 September 2020 dengan keahlian seramai 36 orang yang mewakili pelbagai latar belakang dalam sektor perikanan.
Sejak penubuhannya, myKP Kuala Sibuti telah berjaya melaksanakan empat projek utama yang mencerminkan keupayaan serta komitmen tinggi komuniti ini dalam memperkukuh ekonomi dan kelestarian sumber perikanan.
Menurut Pengarah Kanan Jabatan Perikanan Laut Sarawak, Abdul Rahman Abdul Wahab, antara projek tersebut adalah Projek Peranti Pengumpulan Ikan (Unjam), Projek Pemprosesan Produk Perikanan, Projek Pondok Penyelenggaraan Bot/Galangan, dan Projek Pemprosesan Belacan.
“Bagi melancarkan pelaksanaan keempat-empat projek ini, pihak jabatan telah menyalurkan bantuan sebanyak RM239,985. Jumlah ini merupakan keseluruhan bantuan yang diberikan kepada komuniti ini sepanjang tempoh dari 2020 hingga 2025.
“Kesemua projek ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan ekonomi komuniti perikanan tempatan, tetapi juga selari dengan hasrat kerajaan untuk memperkasakan komuniti melalui pendekatan pembangunan setempat yang inklusif dan mampan,” katanya pada Program Pengukuhan myKomuniti Perikanan (myKP) di Balai Raya Kampung Kuala Sibuti, di sini, hari ini.
Tambahnya, bagi memperkasakan peranan nelayan darat secara komuniti, terutamanya dalam aspek meningkatkan kemahiran serta kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan sumber perikanan darat, myKP akan diteruskan.
“Inisiatif ini adalah salah satu usaha daripada Jabatan Perikanan Malaysia untuk menyediakan platform perhubungan dengan kumpulan sasar.
“Kerajaan sentiasa komited dalam membela nasib komuniti nelayan dan pengusaha perikanan untuk memastikan sektor ini terus berdaya saing dan berdaya tahan melalui pelbagai program seperti Bantuan Input, Latihan Peningkatan Kapasiti, Skim Perlindungan Sosial dan Insentif Nelayan, serta program myKP itu sendiri.
“Ini menjadi bukti bahawa komuniti perikanan tidak dipinggirkan, malah terus diberi ruang untuk menjadi peneraju kepada pembangunan ekonomi tempatan,” katanya lagi.
Oleh Adum Liu