TINJAUAN… ADUN N.46 Meradong, Datuk Ding Koung Hiing meninjau gerai jualan buah-buahan dan produk
tempatan yang dijual di Program My Rakyat.
PROGRAM My Rakyat merupakan program yang dilaksanakan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan sokongan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta kerjasama dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
FAMA Negeri Sarawak berkata, pelbagai program khidmat pemasaran FAMA yang memberi manfaat secara terus kepada pengguna turut ditawarkan di dalam My Rakyat seperti Jualan Terus Dari Ladang, Jualan Terus Dari Kilang dan lain-lain lagi.
“Program My Rakyat mensasarkan jualan barangan segar dan runcit yang berkualiti kepada penduduk setempat di samping mengwujudkan ruang dan peluang perniagaan yang lebih kepada usahawan tani.
“Pelbagai jenis jualan hasilan pertanian yang boleh didapati pada program ini seperti sayur-sayuran, buah-buahan input pertanian dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan media.
Katanya, sebanyak RM3.39 juta nilai jualan telah direkodkan menerusi program jualan My Rakyat dengan penyertaan seramai 4,736 orang usahawan di 146 lokasi seluruh negara bagi 2021.
“Bagi 2022, FAMA telah mensasarkan sebanyak 152 lokasi penganjuran di seluruh negara dengan nilai jualan RM3.5 juta.
“Produk pertanian dan makanan dari usahawan setempat telah dipilih bagi menarik kedatangan pengunjung pada edisi penganjuran My Rakyat pada kali ini.
“Seramai 30 usahawan yang akan menawarkan pelbagai jualan istimewa produk pertanian dan industri asas tani bagi memberi kepuasan pilihan kepada pengunjung yang hadir,” ujarnya.
Tambahnya, antara pengisian dan aktiviti yang dijalankan sepanjang dua hari penganjuran program ini adalah Jualan Happy Hour, Jualan Keluarga Malaysia, Jualan Produk Segar, Industri Asas Tani dan pelbagai lagi.
“Turut diadakan adalah promosi dan demonstrasi produk usahawan setempat untuk pengunjung yang hadir,” katanya lagi.
Bagi daerah Bintangor ini telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.46 Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing di hari pertama Program My Rakyat, 12 Mac lalu.
Sehubungan itu, Ding melahirkan perasaan gembira dan berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dengan program tersebut.
“Saya berharap program ini boleh membawa manfaat kepada petani di kawasan Meradong.
“Selain itu, saya berharap ia dapat mempromosi produk tempatan di Meradong ini juga terutamanya Tumpik dan Rojak Bintangor,” katanya ketika ditemu bual para pemberita.
Ding turut menggesa supaya program seperti ini dapat diteruskan bagi membantu golongan petani dan penduduk tempatan di Meradong.
“Saya dapat lihat sambutan dari pengunjung yang terdiri dari penduduk tempatan di sini sangat baik terhadap program ini.
“Mereka datang untuk membeli buah-buahan dan produk tempatan yang dijual di program ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, selain menjalankan tinjauan dari gerai-gerai jualan di Program Jualan My Rakyat, Ding turut menjalankan tinjauan di Program Keluarga Malaysia di pasar raya G-Mart, Bintangor.
Turut hadir, Pegawai Daerah Meradong, Badjuri Bidin, Pegawai Daerah Sarikei, Christopher Ranggau Unting, Penolong Pengarah Kanan FAMA Negeri Sarawak, Lois Unggah dan Ketua KPDNHEP Sarikei, Mohamad Zawawi.
Oleh EARL ANEK