Program MRT perkukuh pemulihan 24 prospek Penjara Pusat Sri Aman

Facebook
WhatsApp
PROGRAM MRT di Penjara Pusat Sri Aman memberi penekanan kepada perubahan tingkah laku, pembangunan sahsiah dan persediaan prospek kembali menjalani kehidupan dalam masyarakat. Foto Penjara Pusat Sri Aman

SIMANGGANG: Program Perkhidmatan Bergerak Rawatan dan Pemulihan (MRT) bagi prospek (banduan/tahanan) Penjara Pusat Sri Aman berjaya dilaksanakan menerusi kerjasama strategik bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), semalam.

Menurut kenyataan media Penjara Pusat Sri Aman, program berkenaan merupakan inisiatif bagi memperkukuh aspek pemulihan, kesedaran kendiri serta pembangunan sahsiah dalam kalangan prospek, khususnya sebagai persediaan ke arah perubahan tingkah laku yang lebih positif selepas menjalani hukuman.

Seramai 24 prospek yang sedang menjalani hukuman di bawah Seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya 1983 terlibat dalam program tersebut.

Antara pengisian utama ialah pengurusan kemarahan bagi membantu prospek mengawal emosi dengan lebih baik, selain memperbaiki hubungan bersama keluarga, masyarakat dan persekitaran.

PROGRAM MRT prospek Penjara Pusat Sri Aman berjaya dilaksanakan menerusi kerjasama strategik bersama AADK, semalam. Foto Penjara Pusat Sri Aman

Program itu turut memberi pendedahan mengenai lima cabaran biasa yang dihadapi pada peringkat awal pemulihan serta syarat-syarat pengurusan klien di AADK Daerah sebagai persediaan menghadapi proses pemulihan susulan.

Secara keseluruhannya, pelaksanaan MRT itu membuka ruang kepada prospek untuk meningkatkan kesedaran diri, memperbaiki hubungan sosial serta mempersiapkan diri membina kehidupan yang lebih baik dan bebas daripada pengaruh dadah.

Usaha berkenaan sekali gus memperlihatkan kepentingan pendekatan pemulihan secara berterusan dalam membantu prospek kembali kepada kehidupan bermasyarakat secara positif.

Oleh Adi Safarman