
BINTULU: Inisiatif memperkukuh potensi belia dan pelajar melalui program berteraskan pembentukan jati diri dan motivasi peribadi perlu diteruskan bagi melahirkan generasi masa depan yang berkeyakinan dan berdaya saing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon, berkata usaha seperti ini mencerminkan komitmen tinggi terhadap pembangunan kecemerlangan dalam komuniti, khususnya golongan muda.
“Tema program kali ini, ‘Identiti Diri dan Jati Diri’, membawa makna yang mendalam dalam mendepani dunia yang pantas berubah dan penuh cabaran.
“Soalan ‘Siapa saya?’ dan ‘Di manakah tempat saya?’ sering mengelirukan dalam dunia moden ini. Memahami identiti dan mempunyai jati diri yang kukuh adalah asas kepada segala bentuk kejayaan.
“Ia menjadi kompas yang membimbing kita membuat pilihan yang tepat dalam pendidikan, kerjaya mahupun kehidupan sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Motivasi Kecemerlangan Diri: Identiti Diri dan Jati Diri anjuran Biro Pendidikan Persatuan Kebangsaan Kenyah Sarawak (PKKS) Cawangan Bintulu yang diadakan di sebuah hotel di sini, baru-baru ini.
Penganjuran program itu disifatkan sebagai platform penting membentuk sahsiah diri, keyakinan dan semangat kepimpinan dalam kalangan peserta, selaras dengan aspirasi PKKS untuk melahirkan komuniti Kenyah yang berpendidikan dan berdaya maju.
Oleh Carolyne Utih