Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Program ‘Little Hajj’ didik murid prasekolah fahami ibadah haji
  • SEMASA

Program ‘Little Hajj’ didik murid prasekolah fahami ibadah haji

Utusan Sarawak 2 days ago

JEMAAH cilik melakukan tawaf semasa menyertai simulasi haji pada Program Mega Little Hajj Malaysia 2025 anjuran Little Caliphs International Sdn Bhd (LCISB) ketika tinjauan Bernama. Suasana di masjis tersebut seolah-olah bertukar menjadi ‘Mini Makkah’ apabila ribuan kanak-kanak prasekolah lengkap berpakaian ihram beratur dengan tertib untuk melaksanakan simulasi ibadah haji menerusi program Little Hajj Mega 2025. Program tahunan anjuran LCISB itu melibatkan seramai 3,767 murid berusia enam tahun dari 119 cawangan tadika itu di Lembah Klang, sebahagian daripada 11,992 murid daripada 554 cawangan tadika Little Caliphs di seluruh negara. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Ketika jutaan umat Islam sedang bersiap sedia menunaikan ibadah haji di Tanah Suci, ribuan murid prasekolah di Malaysia hari ini turut menelusuri pengalaman simbolik menunaikan rukun Islam kelima melalui Program Little Hajj Mega 2025 anjuran Little Caliphs International Sdn Bhd (LCISB).

Masjid Wilayah Persekutuan menjadi tumpuan apabila seramai 3,767 murid berusia enam tahun daripada 119 cawangan tadika Little Caliphs di Lembah Klang lengkap berpakaian ihram menyertai simulasi ibadah haji yang dijalankan secara serentak dengan hampir 12,000 murid lain di seluruh negara, sekali gus mencatatkan rekod Malaysia Book of Records bagi The Largest Simultaneous Participation of Children for Hajj Performing Programme.

Program yang bermula seawal 9 pagi itu menyaksikan murid melaksanakan rukun-rukun haji seperti wukuf, saie, melontar jamrah, tahalul dan tawaf mengelilingi replika Kaabah setinggi 10 kaki, di bawah bimbingan guru yang berperanan sebagai mutawif.

Pengasas dan Ketua Pegawai Akademik LCISB Datin Dr Sabariah Faridah Jamaluddin berkata program itu bukan sekadar melatih kanak-kanak memahami rukun Islam kelima, tetapi turut menerapkan nilai kepimpinan, disiplin dan tanggungjawab melalui pendekatan pembelajaran berasaskan projek.

“Melalui pendekatan itu yang memerlukan sekurang-kurangnya dua minggu, murid-murid didedahkan secara menyeluruh kepada pelbagai tunjang mata pelajaran berkaitan ibadah haji seperti akidah, ibadah, geografi, sejarah, bahasa, numerasi serta seni dan kraf.

“Proses ini membolehkan mereka bertanya, mencadangkan, membuat pembetulan, refleksi serta menghasilkan produk kreatif secara aktif sebagai sebahagian daripada pengalaman pembelajaran antaranya simulasi penyembelihan,” katanya dalam sidang media program itu di sini hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata program tahunan itu membolehkan murid terlibat secara aktif melalui aktiviti kreatif seperti membuat batu jamrah daripada kertas, membina kaabah, belajar memakai ihram serta simulasi penyembelihan haiwan.

“Pelaksanaan program berbeza mengikut kreativiti setiap tadika, namun tetap berpandukan pelan pembelajaran standard yang telah dibangunkan LCISB

“Selain memberi manfaat kepada murid, program ini turut membuka ruang kepada ibu bapa dan pengusaha tadika untuk meningkatkan kefahaman dan kesedaran awal mengenai ibadah haji dalam kalangan kanak-kanak,” katanya.

Seorang peserta, Sumayya Mohd Khairul Nizam daripada Little Caliphs Prima Sri Gombak mengaku teruja menyertai simulasi itu buat kali pertama bersama-sama dengan rakan sekelasnya.

“Seronok sangat. Saya suka jalan tawaf keliling Kaabah. Nanti saya nak ajak ayah dan ibu pergi Makkah sama-sama,” katanya.

Seorang lagi peserta, Fathiyya Summayyah Mohd Zainal daripada Little Caliphs Setia Alam berkata pengalaman itu membantunya lebih memahami ibadah haji dalam suasana yang menyeronokkan.

“Saya gembira sebab dapat jumpa ramai kawan dan belajar haji… rasa macam betul-betul pergi Makkah!” katanya.– Bernama

Continue Reading

Previous: Wartawan jadi ‘mata, telinga dan pena’ rakyat – Fadillah
Next: Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Limbang Jun ini

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.