
SANTUBONG: Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) melalui inisiatif tahunan LCDA Prihatin mengadakan majlis penyerahan beduk serta agihan sumbangan di Masjid Nurir Rahmani, Kampung Santubong hari ini yang disempurnakan oleh Pengurus Besar LCDA, Datu Sr Zaidi Mahdi.
Program bertemakan ‘Memperkukuh Kelestarian, Membangun Bersama Komuniti’ itu merupakan sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) LCDA yang menekankan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
LCDA Prihatin memberi tumpuan kepada aspek sosial dan kesejahteraan komuniti dengan sasaran memberi impak positif kepada masyarakat setempat.
Sebagai tanda keprihatinan, LCDA menyampaikan sumbangan wang tunai kepada 71 penerima terdiri daripada golongan kurang berkemampuan di Kampung Santubong serta menyerahkan sebuah beduk sebagai kelengkapan ibadah kepada Masjid Nurir Rahmani.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Kaum Kampung Santubong, Hardy Morni; Pengerusi Jawatankuasa Masjid Nurir Rahmani, Safiudin Matsah; Pegawai Dakwah Latihan dan Pembangunan Hikmah, Ustaz Sarbini Dahlan; pegawai-pegawai kanan LCDA; Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Santubong; serta penduduk Kampung Santubong dan warga LCDA.