
LONDON: Program Lan Berambeh Anak Sarawak 2025 Edisi United Kingdom, yang julung kali dianjurkan di luar negara, mencipta sejarah tersendiri apabila menerima sambutan hangat daripada kira-kira 230 pelajar Sarawak yang sedang melanjutkan pengajian di United Kingdom, Perancis, dan Jerman.
Program ini merupakan inisiatif kerajaan Sarawak yang bertujuan merapatkan hubungan dengan rakyat Sarawak di perantauan, khususnya dalam kalangan pelajar dan golongan profesional muda. Penganjurannya melibatkan kerjasama erat antara Yayasan Sarawak, Persatuan Sukarelawan Sarawak, dan Persatuan Pelajar Sarawak (SSA) United Kingdom.
Antara objektif utama program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada anak-anak Sarawak di luar negara mengenai dasar serta pendekatan kerajaan Sarawak dalam menjayakan pembangunan mampan negeri, selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS 2030).
Program ini turut menyediakan platform bagi para pelajar menyuarakan pandangan dan cadangan melalui sesi townhall bersama YAB Premier Sarawak, di samping memperkukuh kefahaman mereka terhadap hala tuju pembangunan negeri.
Selain itu, penganjuran ini memberi inspirasi dan keyakinan kepada pelajar bahawa kerajaan negeri amat prihatin terhadap kebajikan dan kesejahteraan mereka di perantauan.
Para peserta turut diberi peluang mendapatkan maklumat berkaitan prospek kerjaya melalui penglibatan agensi kerajaan dan syarikat korporat yang menjadi rakan strategik kerajaan Sarawak.
Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan sepanjang program ini, antaranya sesi dialog, pameran kerjaya, dan aktiviti pembangunan diri yang menumpukan kepada pemerkasaan bakat muda serta pengukuhan jaringan komuniti diaspora Sarawak di rantau Eropah.
Antara pengisian program yang mendapat perhatian ialah sesi Townhall bersama YAB Premier Sarawak, Meet & Greet Anak Sarawak, Kenyalang Speaks, Dialog Sarawak serta majlis Makan Malam Anak Sarawak. -UKAS