
MIRI: Seramai 14 penghuni Penjara Pusat Miri bersama 30 ahli keluarga masing-masing menyertai Program Jangkauan Korektif: Daripada Kesilapan Ke Kejayaan – Perjalanan Pemulihan di Dewan Serbaguna penjara berkenaan semalam.
Program anjuran bersama Kementerian Kesihatan (KKM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu bertujuan memberikan pendedahan berkaitan kesihatan, pencegahan dadah serta peluang pekerjaan selepas tempoh hukuman tamat.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (Pembangunan Keusahawanan), Datuk Dr Ripin Lamat, yang menutup program tersebut berkata, masyarakat harus bersikap terbuka dan memberi peluang kedua kepada bekas penghuni penjara untuk kembali membina kehidupan.
Dalam masa sama, Penjara Pusat Miri turut merakamkan penghargaan kepada pihak majikan yang menawarkan peluang pekerjaan kepada penghuni melalui Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL).
Program seumpama ini dilihat sebagai platform penting untuk memupuk kesedaran, menggalakkan interaksi positif antara penghuni dan keluarga, serta mempersiapkan mereka untuk reintegrasi ke dalam masyarakat selepas pembebasan.
Oleh Liong Chai Ling